KUALA LUMPUR 21 April – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) terus mengorak langkah dalam memperkasa komuniti menerusi pelancaran unit komersial M-Niaga, yang disasarkan untuk memacu pembangunan sosioekonomi dalam kawasan perumahan PR1MA di seluruh negara.
Melalui inisiatif itu, PR1MA menawarkan sebanyak 256 unit komersial bernilai RM160.15 juta yang dibangunkan khusus bagi menyokong pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kawasan komuniti PR1MA.
Unit-unit yang ditawarkan berkeluasan antara 689 hingga 5,803 kaki persegi, dengan reka bentuk fleksibel dan susun atur praktikal yang sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan, daripada peruncitan sehingga perkhidmatan makanan dan minuman.
Lokasi strategik turut menjadi kelebihan utama M-Niaga, apabila ianya ditempatkan berdekatan kawasan pertumbuhan tinggi, sekaligus menjamin aliran trafik dan keterlihatan yang mampan kepada usahawan.
Dengan harga bermula serendah RM289,800, unit-unit itu akan ditawarkan di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah, dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, Datuk Seri Haji Mohd Nazri Md Shariff berkata, inisiatif M-Niaga merupakan sebahagian daripada agenda PR1MA dalam menjadikan pembangunan komuniti sebagai teras utama selain penyediaan perumahan mampu milik.
"Pelancaran M-Niaga adalah bukti komitmen PR1MA dalam memperkasakan komuniti melalui penyediaan peluang ekonomi yang mampan.
Kami percaya inisiatif ini amat penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang berdaya saing, selari dengan matlamat kami untuk menyediakan pembangunan bersepadu yang inklusif dan mampan," katanya dalam satu kenyataan.
M-Niaga turut diperkenalkan seiring dengan prinsip komuniti "Saku" PR1MA, yang menumpukan kepada pembangunan sosioekonomi lestari dalam kalangan penghuni projek PR1MA.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu sebagai satu pencapaian signifikan dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Usaha PR1MA dalam melancarkan M-Niaga adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta menggalakkan pembangunan fizikal dan sosioekonomi tempatan.
"Saya percaya M-Niaga bukan sahaja berpotensi membentuk komuniti yang lebih kondusif, malah mewujudkan suasana perniagaan yang lebih inovatif dan berdaya saing terutamanya untuk PKS," kata beliau.
Inisiatif itu secara tidak langsung meletakkan PR1MA sebagai pemacu utama dalam pembangunan ekonomi komuniti, sekaligus membuktikan komitmen agensi itu dalam memperluaskan peranan melebihi tanggungjawab tradisional sebagai penyedia perumahan mampu milik.- DagangNews.com








