PPIM gesa hapus sistem tambang tawar-menawar e-hailing, cadang kadar lantai lindungi pemandu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PPIM gesa hapus sistem tambang tawar-menawar e-hailing, cadang kadar lantai lindungi pemandu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 31 Dis – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, MOT juga perlu mempertimbangkan kawal selia kadar tambang e-hailing melalui penetapan kadar tambang lantai bagi melindungi kebajikan pemandu, selain mengekalkan keseimbangan kepentingan pengguna dan syarikat penyedia perkhidmatan.

 

Menurut PPIM, walaupun sistem tawar-menawar memberi kelebihan kepada pengguna, kebajikan serta kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.

 

 

 

 

 

 

 

“Adalah mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, namun perkhidmatan e-hailing dibenarkan berbuat demikian, sedangkan Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang tawar-menawar beroperasi di Malaysia.

 

“Justeru, MOT dan APAD wajar menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor e-hailing, meliputi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

PPIM turut memaklumkan isu penurunan kadar tambang kini semakin kritikal sejak pelaksanaan sistem bidaan tambang secara tawar-menawar, yang didakwa menekan pendapatan pemandu dan berpotensi menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

 

“PPIM menegaskan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa,” katanya.

 

Sebelum ini, pada 23 Disember lalu, APAD memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing, sebaliknya kadar tambang ditentukan berdasarkan konsep permintaan dan penawaran.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut APAD, perkhidmatan e-hailing merupakan sebahagian daripada ekonomi gig yang bersifat pasaran terbuka dengan model operasi syarikat yang berbeza-beza.

 

Bagaimanapun, APAD menegaskan syarat pelesenan menetapkan pemandu tidak dibenarkan menjalankan tawar-menawar tambang selepas tempahan diterima, sebaliknya perlu memberikan perkhidmatan berdasarkan tempahan yang telah disahkan. - DagangNews.com