KUALA LUMPUR 8 Ogos - Perjalanan menuju pembentangan Belanjawan MADANI Keempat atau Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada 10 Oktober 2025 secara rasmi bermula hari ini apabila Kementerian Kewangan melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2026, sebagai langkah ke arah penyediaan belanjawan tahunan yang lebih inklusif dan telus.
Pelancaran itu adalah selepas pelancaran Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Berdepan ketidaktentuan global dan peningkatan persaingan, tumpuan Belanjawan 2026 terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi
"Pada masa sama, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah kualiti hidup," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan sulung yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Langkah-langkah yang dirancang akan disusunberasaskan tiga tonggak kerangka Ekonomi MADANI: untuk Menaikkan Siling potensi ekonomi negara, Menaikkan Lantai taraf hidup dan darjat rakyat, serta Memacu Pembaharuan dan Tatakelola Baik,” katanya.
Bagi melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan mampan berteraskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial, Belanjawan 2026 akan menumpukan usaha memecahkan kekangan struktur yang lama berakar — khususnya kebergantungan kepada model ekonomi kos rendah dan sederhana.
Dengan Ekonomi MADANI menetapkan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia termasuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global dan beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti tinggi dan inovasi.
Belanjawan 2026 membina kesinambungan usaha terdahulu untuk mengangkat asas kehidupan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat yang lebih baik.
Menjunjung prinsip ekonomi yang adil bagi memastikan keselamatan, maruah dan peluang saksama untuk semua, Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada akses sejagat kepada perkhidmatan asas, upah yang adil, perlindungan sosial kukuh dan peluang bagi setiap rakyat untuk maju ke hadapan.
"Aspirasi Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal.
"Antaranya, memodenkan perkhidmatan awam, memperkenal kerangka dan perundangan yang meningkatkan prestasi perkhidmatan awam serta memperkukuh prinsip integriti dan tadbir urus beretika," katanya kenyataan itu lagi.
Kerajaan MADANI mengangkat pendekatan demokrasi penyertaan dalam merangka Belanjawan 2026 agar limpahan kemakmuran negara dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Justeru, Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), dan pertubuhan antarabangsa.
Antara topik utama yang diketengahkan termasuk: usaha meningkatkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat; pemerkasaan ekonomi Bumiputera; pengukuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta industri tempatan; perlindungan pengguna dan pembeli rumah; serta pemuliharaan khazanah alam.
Perdana Menteri mengarahkan agar semua kementerian juga melaksanakan sesi libat urus Belanjawan 2026 bersama pihak berkepentingan masing-masing bagi memastikan Belanjawan ini mencerminkan harapan dan aspirasi semua lapisan masyarakat.
Orang ramai dijemput untuk mengemukakan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan 2026 di www.belanjawan.mof.gov.my sehingga 3 Oktober 2025. - DagangNews.com








