KUALA LUMPUR 23 Mei – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijadikan sebagai teras utama dalam agenda penyepaduan ekonomi serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur.
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, sidang kemuncak itu merupakan peluang ekonomi generasi sekali seumur hidup untuk ASEAN memperkasakan PMKS dan menggerakkan potensi sebenar pertumbuhan rantau ini.
"Tiada penyepaduan ASEAN yang sebenar tanpa penglibatan khusus PMKS.
"PMKS mewakili lebih 97% daripada keseluruhan perniagaan di ASEAN dan menggaji lebih 85% tenaga kerja di beberapa negara anggota, namun sumbangan kepada KEluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini hanya sekitar 30% hingga 40%. Penglibatan mereka dalam perdagangan intra-ASEAN juga masih kecil.
"Jurang ini wujud disebabkan kekangan struktur yang menghalang PMKS berkembang dan menyertai rantaian nilai serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Antara kekangan tersebut termasuklah piawaian produk tidak seragam, prosedur kastam belum didigitalkan sepenuhnya, peraturan berpecah-pecah dalam sektor pertanian dan perkhidmatan, serta sistem pelesenan yang tidak sekata.

ASEAN perlu bertindak berani dengan memeterai perjanjian boleh dikuat kuasa bagi mengurangkan halangan bukan tarif (NTB), memperluas pengaturan pengiktirafan bersama (MRA) dan mempercepat pelaksanaan ASEAN Single Window bagi manfaat PMKS.
William turut menekankan kelebihan strategik ASEAN berikutan perubahan landskap rantaian bekalan global yang kini beralih daripada kebergantungan kepada satu negara.
Beliau berkata, ASEAN harus meletakkan diri sebagai blok neutral mesra perniagaan yang mampu menarik pelaburan serta penyusunan semula rantaian bekalan, dengan syarat PMKS tidak diketepikan.
"Jika PMKS dibiarkan dalam peralihan ini, ASEAN berisiko mengukuhkan dualisme ekonomi dan meningkatkan ketidaksamarataan," tambah William.
Di luar aspek fasilitasi perdagangan, pemimpin ASEAN perlu memberi tumpuan kepada inovasi dan pemodenan industri sebagai strategi keluar daripada 'perangkap pendapatan sederhana' dalam kalangan PMKS.
Langkah itu termasuk penyediaan geran inovasi khusus, platform pertukaran bakat rentas sempadan, dan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serantau.
Beliau juga menggesa supaya keterangkuman diterapkan dalam pelaksanaan rangka kerja digital dan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) mesti inklusif dari awal.
Piawaian ESG juga perlu realistik dan dilaksanakan secara berperingkat bagi syarikat kecil, dengan keutamaan kepada sokongan dan insentif berbanding penguatkuasaan bersifat menghukum.
Beliau turut menekankan potensi ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu, khususnya untuk perusahaan dikendalikan oleh belia dan wanita.
Para pemimpin ASEAN harus menjadikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur sebagai titik perubahan dengan mengurangkan NTB, memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, dan memastikan PMKS menjadi teras masa depan ekonomi rantau ini.- DagangNews.com








