PM Anwar terima kunjungan hormat Oracle, bincang AI dan inovasi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar terima kunjungan hormat Oracle, bincang AI dan inovasi digital

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada syarikat teknologi komputer multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, Oracle Corporation, semalam.

 

Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar berkata, pertemuan bersama delegasi Oracle yang diketuai Naib Presiden Eksekutif bagi Jepun dan Asia Pasifik, Garrett Ilg tertumpu kepada perbincangan mengenai potensi perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk tawaran sedia ada oleh Oracle.

 

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh ekosistem bakat dan inovasi negara melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran digital dan memastikan keterangkuman digital secara menyeluruh.

 

"Ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat perang perdagangan, Malaysia amat menghargai komitmen dan usaha para pelabur, termasuk dari Amerika Syarikat dalam merealisasikan pelaburan yang telah dirancang," katanya.

 

Pada Oktober tahun lalu, Oracle mengumumkan rancangan untuk melabur lebih daripada AS$6.5 billion (RM30.7 billion) bagi menubuhkan pusat awam (public cloud centre) di Malaysia.

 

Pelaburan tersebut merangkumi lebih 150 tawaran infrastruktur dan perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) yang dijangka menyumbang kepada ekonomi digital negara dan mempercepatkan inovasi berasaskan AI.- DagangNews.com