KUALA LUMPUR 9 Jan – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kini lebih bebas memilih mana-mana Lorong selepas PLUS Malaysia Berhad memperkenalkan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) di jajaran Hutan Kampung hingga Sungai Dua.
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan projek ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya Malaysia.
“Dengan sistem ini, pengguna yang berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas mengikut jenis pembayaran.
“Mereka boleh masuk dan keluar melalui mana-mana lorong di sembilan plaza tol termasuk Hutan Kampung, Alor Setar Utara dan Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara dan Selatan, Bertam, serta Sungai Dua.
“Fasa pertama projek ini merangkumi jarak 87.7 kilometer dan dijangka membantu melancarkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan akibat pertukaran lorong saat akhir,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kamera ANPR yang dipasang akan membaca nombor plat kenderaan dan memproses caj tol secara automatik melalui aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, yang boleh dihubungkan kepada kad debit atau kredit pengguna.
Sistem ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan, termasuk cuaca buruk, kelajuan tinggi, sudut pandangan yang berbeza dan nombor plat tidak standard yang akan sentiasa ditambah baik ketepatannya dari masa ke semasa.


Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia, mendaftar kenderaan, memilih kaedah pembayaran pilihan dan memandu seperti biasa tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan atau kos pendahuluan.
PLUS berkata aplikasi ini juga menyediakan kemudahan e-invois, manakala kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch 'n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan.
“Ujian sistem ANPR telah dilaksanakan sejak September 2024, menunjukkan pengesanan lebih pantas berbanding sistem tol lama.
“Ujian ini dijalankan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan konsesi lebuh raya lain.
“Sepanjang projek rintis, palang tol akan kekal digunakan dan pengguna dinasihatkan mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j semasa melalui plaza tol,” katanya. - DagangNews.com








