PLUS Malaysia, Korea Expressway Corporation perkukuh kerjasama transformasi lebuh raya pintar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLUS Malaysia, Korea Expressway Corporation perkukuh kerjasama transformasi lebuh raya pintar

PLUS Malaysia, Korea Expressway Corporation perkukuh kerjasama transformasi lebuh raya pintar.
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan Korea Expressway Corporation (KEC) memperkukuh kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) baharu bagi pembangunan mobiliti pintar, teknologi infrastruktur maju dan penyelesaian lebuh raya berasaskan kemampanan.

 

Dalam kenyataan hari ini, PLUS berkata pemeteraian MoU itu selari dengan perjanjian kerajaan-ke-kerajaan antara Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, yang mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam memodenkan sistem lebuh raya serta rangkaian pengangkutan.

 

Menurutnya, MoU antara PLUS dan KEC yang dimeterai sempena Forum ITS Asia Pacific 2025 di Suwon, Korea Selatan membuka laluan kepada penerokaan teknologi generasi baharu dalam operasi lebuh raya.

 

Kerjasama itu akan merangkumi kajian dan pembangunan inovasi melibatkan penggunaan bahan turapan jalan berprestasi tinggi, sistem kamera pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu kutipan tol.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata kerjasama strategik tersebut mencerminkan aspirasi bersama untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan pengalaman perjalanan bertaraf dunia.

 

“Melalui usaha bersama ini, syarikat berhasrat meneroka potensi baharu dalam operasi lebuh raya moden dan membina landasan ke arah rangkaian lebuh raya masa depan yang lebih pintar dan lestari, ” katanya.

 

Beliau berkata lagi, gabungan penjajaran dasar di peringkat kerajaan dengan inovasi di lapangan menerusi PLUS dan KEC akan membolehkan kami menetapkan penanda aras baharu serantau dalam pengurusan lebuh raya, ketahanan infrastruktur dan kepuasan pengguna. - DagangNews.com