PJBumi raih tender RM23.46 juta bagi projek pembangunan industri di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PJBumi raih tender RM23.46 juta bagi projek pembangunan industri di Kedah

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 9 Dis – Syarikat perkhidmatan tenaga, PJBumi Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, PJBumi Heavy Engineering & Services Sdn Bhd, menerima kontrak bernilai RM23.46 juta bagi kerja reka bentuk dan pembinaan projek pembangunan industri di Kedah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah syarikat memaklumkan PJBumi telah menerima surat setuju terima (LOA) bertarikh 9 Disember 2025 bagi tender yang dikemukakan pada 6 Disember 2025.

 

Kontrak itu melibatkan kerja reka bentuk dan bina bagi cadangan pembangunan industri yang terdiri daripada 22 unit bangunan industri teres setinggi 1½ tingkat di atas Lot PT 60594, Mukim Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, Kedah Darul Aman, dengan jumlah kontrak RM23,464,885.02.

 

Menurut syarikat, LOA tersebut membentuk kontrak yang mengikat di antara majikan dan kontraktor sementara menunggu pelaksanaan perjanjian rasmi reka bentuk dan bina.

 

PJBumi dikehendaki mengemukakan beberapa dokumen dalam tempoh 90 hari daripada tarikh LOA termasuk:
•    Potongan retensi 10% daripada setiap tuntutan interim sehingga mencapai 5% daripada jumlah kontrak, yang akan dilepaskan selepas Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP);


•    Perlindungan insurans yang sah termasuk Contractor’s All Risk (CAR), Pampasan Pekerja dan Liabiliti Pihak Ketiga;


•    Program kerja terkini; dan


•    Dokumen lain seperti yang ditetapkan dalam keperluan tender.

 

Tarikh permulaan kontrak akan ditetapkan menerusi Notis Untuk Meneruskan (NTP), manakala kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan akan dilaksanakan mengikut Spesifikasi Standard Jabatan Kerja Raya (JKR), Keperluan Majikan, semua kelulusan berkanun serta terma kontrak JKR borang DB.

 

Mengulas kesan kewangan, PJBumi berkata dalam makluman itu LOA tersebut tidak memberi kesan material kepada modal saham diterbitkan dan berbayar, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham serta tahap gearan Kumpulan PJBumi.

 

Bagaimanapun, lembaga pengarah berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya.

 

Menurut PJBumi lagi, pelaksanaan projek ini tertakluk kepada beberapa risiko perniagaan, termasuk pengurusan kewangan yang berhemah, turun naik harga bahan, serta perubahan dalam faktor politik, ekonomi dan peraturan, namun pihak lembaga akan terus menjalankan pemantauan rapi terhadap semua risiko berkaitan.

 

Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam LOA tersebut. - DagangNews.com