KUALA LUMPUR 15 Mei - Anak syarikat milik penuh PJBumi Bhd, PJBumi Heavy Engineering & Services Sdn Bhd (PJbumihes) membentuk kerjasama dengan Intlef Oil and Gas Group Co. Ltd bagi kerja-kerja pembinaan pelantar penggerudian darat.
PJBumi berkata, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, PJbumihes bersetuju untuk membeli pelantar penggerudian darat, peralatan serta dokumen berkaitan daripada Intlef.
"Intlef pula akan bertanggungjawab dalam reka bentuk, pembinaan, pentauliahan dan pembekalan pelantar penggerudian, termasuk semua peralatan dan dokumentasi yang diperlukan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tambahnya, selain itu, Intlef juga mungkin menyediakan latihan, tertakluk kepada syarat yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.
"Sebagai sebahagian daripada perjanjian, PJbumihes perlu menyediakan jaminan korporat tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik bernilai kira-kira RM23.6 juta kepada Intlef," jelasnya.
Sebagai balasan, PJBumi berkata, Intlef akan menawarkan kemudahan kredit sehingga RM21.44 juta kepada PJbumihes, dengan tempoh bayaran balik sehingga 180 hari. - DagangNews.com








