KUALA LUMPUR 12 Ogos - PIE Industrial Bhd diyakini mencatatkan pemulihan tempahan pada separuh kedua 2025 (2H25) terutamanya selepas Amerika Syarikat (AS) memuktamadkan kadar tarif Malaysia sebanyak 19%, kata penganalisis.
Keputusan itu mengembalikan keseimbangan harga dan mengurangkan ketidaktentuan kepada pelanggan utama.
Kenanga Research berkata, kadar tarif yang dikenakan AS itu memberikan kestabilan jangka pendek dan membolehkan kumpulan itu menyambung semula perbincangan dengan pelanggan.
“Keseimbangan harga dijangka mendorong tempahan baharu dan penyambungan semula tempahan yang tertangguh, terutamanya daripada pelanggan utama,” katanya dalam satu nota kajian.
Kumpulan itu juga aktif berinteraksi dengan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan termasuk 10 pelanggan berpotensi dari Vietnam dan China.
Firma penyelidikan tu berkata, dari segi operasi, pengembangan Kilang 5 dijangka siap menjelang akhir suku keempat 2025 (4Q25), manakala jambatan penghubung ke Loji 3 dijadualkan siap pada 1Q26.
Kilang 6 pula telah bersedia untuk pengeluaran suis besar-besaran dan sedang menunggu kelulusan untuk pengeluaran pelayan (server).
Bagi 1HFY25 yang berakhir pada 30 Jun, PIE mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM24.6 juta, merosot 3.8% tahun ke tahun (y-o-y) dan jauh di bawah jangkaan penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keuntungan tersebut hanya 35% dan 29% daripada anggaran penuh tahun dan konsensus dengan kekurangan itu dikaitkan kepada tempahan yang lebih lemah daripada pelanggan utama.
Pendapatan meningkat 4.9% y-o-y kepada RM503 juta, disokong perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang tumbuh 5.5% y-o-y dan jualan abah-abah wayar (wire harness) yang melonjak 44%, namun diimbangi penurunan 2% dalam jualan wayar mentah dan kabel.
Margin keuntungan kasar menyusut kepada 7.1% berbanding 8.4% setahun lalu, manakala margin bersih teras menurun sebanyak 0.4 mata peratusan kepada 4.9%.
Campuran jualan yang lebih lemah itu margin kasar susut kepada 5.8%, mengheret keuntungan bersih teras jatuh 45% kepada RM9 juta, menurut Maybank IB.
Firma penyelidikan itu mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dengan mengurangkan unjuran pendapatan PIE bagi tahun kewangan berakhir 2025 (FY25) hingga FY27 sebanyak 22% hingga 26%, dan menurunkan penarafan kepada “pegang” dengan harga sasaran lebih rendah RM3.56, berbanding RM4.70 sebelum ini. - DagangNews.com








