KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), entiti milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), meraih pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan penarafan kredit korporat AAA/Stabil/P1 oleh RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Agensi itu turut mengekalkan penarafan AAA/Stabil ke atas Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) dan Program Kertas Komersial Islamik (ICP) bernilai RM5 bilion yang akan berlangsung dari 2024 hingga 2031.
Penarafan itu disokong oleh kedudukan kewangan PHB yang kukuh, pengurusan kos yang berhemat serta peranannya sebagai pemacu agenda nasional menerusi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) iaitu dana unit amanah patuh Syariah yang memacu pemilikan hartanah komersial dalam kalangan Bumiputera.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PHB mencatat kenaikan hasil 17% kepada RM464 juta berbanding RM396 juta tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan sewaan yang tinggi dan kadar penghunian yang memberangsangkan.
Kos berkaitan hartanah pula kekal terkawal, naik hanya 1.2% kepada RM177 juta (TK2023: RM175 juta), hasil pelaksanaan pengurusan fasiliti dan penyewaan secara dalaman, sekali gus meningkatkan margin pendapatan hartanah bersih (NPI) kepada 61%, berbanding 56% sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, penarafan tersebut mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas syarikat serta pengurusan modal dan portfolio yang berhemah.
“Kami kekal komited untuk menjana nilai jangka panjang secara mampan, seiring mandat PHB untuk memperluas penyertaan ekonomi secara inklusif melalui pelaburan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada akhir tahun 2024, PHB mengekalkan kedudukan kewangan sihat dengan nisbah keberhutangan 0.29 kali (2023: 0.23 kali) dan nisbah tunai kepada hutang jangka pendek 4.1 kali (2023: 1.2 kali).
Walaupun kadar hutang dijangka meningkat berikutan pengambilalihan aset siap dibina yang dirancang, PHB berpegang kepada prinsip pengurusan kewangan berhemat.
Sebagai langkah strategi, PHB juga menyusun semula portfolionya dengan mengurangkan kebergantungan kepada aset pejabat dan memberi tumpuan kepada sektor yang lebih mampan seperti perindustrian, penjagaan kesihatan dan Pendidikan, sejajar dengan faktor demografi dan permintaan pasaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Ratings, Julie Ng pula berkata, PHB adalah entiti penting kepada kerajaan kerana mandat khususnya memperkukuh pemilikan hartanah komersial Bumiputera.
“Sokongan kerajaan kepada PHB jelas melalui geran dan pengecualian cukai yang diberikan. Ini, bersama kecekapan operasi dan asas kredit kukuh, menyokong penarafan AAA/Stabil kami kepada PHB,” katanya.
Sehingga kini, dana AHB telah berkembang kepada RM5 bilion, memberi manfaat kepada lebih 82,000 pelabur Bumiputera di seluruh negara.
Sejak pelancarannya pada 2011, AHB telah menyalurkan agihan dividen tahunan antara 4.7% hingga 7.5%, mengekalkan pulangan stabil kepada pelabur. - DagangNews.com








