KUALA LUMPUR 8 Dis – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memilih platform digital ‘GROW with SAP’ untuk memacu transformasi digital syarikat melalui platform berasaskan awan.
Langkah ini bertujuan menyelaraskan pematuhan, meningkatkan ketangkasan operasi, serta menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam pasaran hartanah yang kompetitif di Malaysia.
GROW with SAP merupakan satu platform penyelesaian yang membolehkan organisasi melakukan transformasi digital menggunakan kerangka, alat dan panduan standard, sekaligus memodenkan operasi perniagaan teras syarikat.
PHB ditubuhkan pada 2006 di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra dengan mandat meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial utama di seluruh Malaysia melalui Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).
Sehingga kini, PHB mengurus portfolio bernilai lebih RM11 bilion yang merangkumi hartanah pejabat, runcit, kesihatan, logistik dan pendidikan di pusat bandar utama.
Pengarang Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pertumbuhan syarikat turut membawa cabaran digital seperti sistem lama dan berpecah-pecah yang menyukarkan pengurusan portfolio yang berkembang.
“GROW with SAP menyediakan asas digital yang menyatukan operasi kewangan dan pengurusan hartanah, menghapuskan ketidakcekapan serta mengurangkan risiko pematuhan.
“Dengan platform ini, PHB dapat menyatukan semua operasi dalam satu sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) berasaskan awan dengan masa nyata, aliran kerja lebih lancar dan pematuhan automatik mengikut piawaian perakaunan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Langkah ini juga dijangka meningkatkan ketepatan data, mengurangkan risiko operasi dan mempercepatkan proses membuat keputusan bagi pengurusan PHB.
Sementara itu, Pengarah Urusan SAP Malaysia, Vipin Chandran berkata, keputusan PHB untuk mengguna pakai GROW with SAP menunjukkan bagaimana organisasi terkemuka di Malaysia memanfaatkan inovasi awan untuk terus bersaing.
“Platform ini memberi PHB keupayaan tangkas, daya tahan dan kepintaran yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan mampan dalam industri hartanah sambil meningkatkan ketelusan dan kawalan operasi,” katanya.
PHB merancang untuk melaksanakan platform baru ini sepenuhnya menjelang Januari 2026, dengan rancangan masa depan untuk mengeksplorasi analisis berasaskan kecerdasan buatan dan automasi proses seperti Procure-to-Pay. - DagangNews.com








