PGB serahkan kompleks bangunan hospital di Sepang, tandatangani perjanjian sewaan 15 tahun dengan Selgate Healthcare | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PGB serahkan kompleks bangunan hospital di Sepang, tandatangani perjanjian sewaan 15 tahun dengan Selgate Healthcare

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Paragon Globe Berhad (PGB) menyerahkan komples bangunan hospital di Sepang kepada Selgate Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat Selgate Corporation.

 

Kompleks bangunan itu merupakan projek penjagaan kesihatan pertama PGB melalui anak syarikatnya, Builtech Acres Sdn Bhd. 

 

Ia membuktikan kemampuan Kumpulan PGB melaksanakan projek teknikal dan kompleks di luar portfolio tradisi mereka selama ini iaitu, pembinaan kediaman serta industri.

 

Di bawah perjanjian sewaan selama 15 tahun, Selgate Healthcare akan menduduki dan mengendalikan operasi di bangunan tersebut, sekali gus mewujudkan aliran pendapatan berterusan kepada PGB dan mengukuhkan hala tuju jangka panjang syarikat.

 

Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Sri Edwin Tan Pei Seng berkata, projek yang telah siap itu adalah pencapaian penting yang menandakan kemasukan kumpulan ke dalam hartanah penjagaan kesihatan.

 

“Kejayaan ini bukan sahaja mempelbagaikan portfolio kami, malah mewujudkan aliran pendapatan berulang yang stabil. 

 

“Lebih utama, ia menunjukkan komitmen kami membangunkan projek yang memberi nilai tambah kepada perniagaan, komuniti dan negeri Selangor,” katanya.

 

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Sepang hari ini yang menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap kerjasama awam-swasta dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, pihaknya bertambah yakin terhadap keupayaan PGB sebagai rakan usaha samanya.

 

“Penyerahan bangunan ini bukan sahaja simbol kejayaan Paragon Globe Berhad, tetapi juga kejayaan bersama Selgate. 

 

“Sinergi antara kedua-dua pihak kini dapat dilihat dalam bentuk nyata,” katanya.

 

PGB merupakan pemaju hartanah dengan portfolio merangkumi kediaman, komersial dan industri. Syarikat ini komited menyediakan pembangunan berkualiti tinggi serta mampan bagi memenuhi permintaan pasaran.

 

Selgate Corporation pula adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diberi mandat untuk menerajui kemasukan negeri itu ke dalam industri penjagaan kesihatan. 

 

Selgate Healthcare kini mengendalikan rangkaian klinik GP, klinik gigi dan farmasi di Lembah Klang serta merancang mengendalikan tujuh hospital dalam tempoh 10 tahun akan datang.- DagangNews.com