PETRONAS, UMT lancar pusat penyelidikan inovasi tenaga boleh diperbaharui di Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, UMT lancar pusat penyelidikan inovasi tenaga boleh diperbaharui di Terengganu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Sept – PETRONAS dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), salah satu model bersepadu pertama di dunia yang menggabungkan sumber tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dengan sistem penstoran dan pengurusan tenaga.

 

 

Pusat penyelidikan inovasi tenaga boleh diperbaharui dengan pembuktian konsep (proof-of-concept) yang terletak di perairan Terengganu ini dibangunkan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan konsisten, berasaskan gabungan tenaga angin luar pesisir, solar dan ombak.

 

 

Model inovatif ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa perjalanan Malaysia menuju masa depan tenaga mampan, selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan aspirasi kelestarian negeri dalam melaksanakan agenda rendah karbon.

 

 

Majlis pelancaran CEFORE di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

 

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi Projek, Teknologi & Kesihatan, Keselamatan, Kawalan dan Persekitaran, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof dan Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.

 

 

T
Sultan Mizan Zainal Abidin 

 

Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Bakke berkata, PETRONAS amat menitikberatkan pembangunan yang mampan untuk kelestarian masa hadapan.

 

 

"Sehubungan itu, kami berharap agar projek ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan tenaga boleh diperbaharui di kalangan generasi akan datang.

 

 

“Projek berwawasan ini berfungsi sebagai pembuktian konsep tenaga boleh diperbaharui campuran dan juga sebagai hab penyelidikan. Ia turut menandakan satu langkah besar ke arah masa depan tenaga kita, menyerlahkan komitmen Malaysia dan Terengganu terhadap inovasi dan kelestarian. 

 

 

"Dengan memanfaatkan sumber kekayaan Terengganu, kami telah membangunkan salah satu penyelesaian luar pesisir pertama di dunia untuk tenaga boleh diperbaharui berterusan, sekali gus memperlihatkan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi dan berpandangan jauh di peringkat global,” katanya.

 

 

Sementara itu, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri menegaskan UMT amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif itu.

 

 

"CEFORE bukan sahaja memacu perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara, malah menyediakan platform kepada universiti untuk membangunkan kursus khusus dalam bidang ini dan melahirkan bakat masa depan.

 

 

"Ia bukan sekadar pusat penyelidikan, sebaliknya ia merupakan platform dinamik Industry on Campus yang membolehkan pelajar, penyelidik dan rakan industri bekerjasama secara langsung dalam menjana penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara.

 

 

"Kolaborasi ini menjadikan CEFORE sebagai model perintis tenaga boleh diperbaharui luar pesisir yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penjanaan mampan, malah menjadi platform integrasi ilmu, inovasi dan pembangunan kapasiti negara,” katanya.- DagangNews.com