Petronas rancang gabung projek minyak medan Kutai dengan syarikat Itali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas rancang gabung projek minyak medan Kutai dengan syarikat Itali

Gambar/Petronas

KUALA LUMPUR 21 Mei - Petronas merancang untuk memasukkan projek minyak dan gas di medan Kutai, Indonesia dalam usaha sama yang dirancang bersama syarikat Itali, Eni.

 

Pada Februari lalu, Petronas dan Eni mengumumkan kerjasama untuk mengurus beberapa aset huluan di Indonesia dan Malaysia. 

 

Gabungan itu melibatkan rizab kira-kira tiga bilion tong setara minyak (boe), dengan potensi penerokaan yang boleh menambah rizab dianggarkan 10 bilion boe.  

 

 

 

Naib Presiden Petronas yang bertanggungjawab bagi aset antarabangsa, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, syarikat sedang berbincang untuk menentukan aset mana yang akan dimasukkan dalam usaha sama tersebut.

 

Katanya, Petronas bercadang untuk menukar kepentingan dalam asetnya di Malaysia dan Indonesia dengan blok Eni di medan Kutai.  

 

"Kami mahu tawarkan aset yang sesuai dengan projek Eni di sini.

 

"Ini membolehkan kami sama-sama membangunkan semua penemuan di medan Kutai dengan dana dari aset kami di Malaysia dan Indonesia," katanya kepada pemberita semasa Persidangan Persatuan Petroleum Indonesia (IPA) seperti laporan The Edge.

 

Sementara itu, seorang jurucakap Eni berkata, syarikat belum boleh memberikan sebarang ulasan buat masa ini.  

 

Aset Eni di Kutai termasuk pembangunan di Gendalo-Gandang, yang mempunyai rizab gas yang besar.  

 

Menurut Redhani, perbincangan mengenai aset yang akan dimasukkan ke dalam usaha sama masih di peringkat awal. 

 

"Petronas tidak akan memasukkan aset di Indonesia yang baru diperoleh seperti blok Binaiya dan Serpang," ujarnya. - DagangNews.com