KUALA LUMPUR 8 April – Petronas Gas Bhd terus memperkukuh usaha membantu mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, dengan menyalurkan bantuan menyeluruh merangkumi keperluan asas, perubatan, kediaman dan kewangan.
Lebih 100 kakitangan Petronas Gas tampil secara sukarela untuk mengagihkan makanan di pusat pemindahan sementara yang ditubuhkan bagi keluarga kehilangan tempat tinggal.
Sekitar 1,000 pek makanan diagihkan setiap hari kepada mangsa dan petugas barisan hadapan.
Petronas Gas turut berganding bahu dengan hospital tempatan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan segera. Syarikat itu turut bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha mempercepatkan penyaluran bantuan susulan.
Selain bantuan segera, syarikat itu turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menyediakan penempatan sementara kepada mangsa yang memerlukan kediaman jangka panjang.
Dari segi bantuan kewangan, lebih RM700,000 telah diagihkan kepada isi rumah terjejas melalui kerjasama dengan inisiatif Prihatin Selangor. Setiap keluarga menerima RM5,000 atau RM2,500, bergantung kepada tahap kerosakan kediaman.
Beberapa entiti lain di bawah kumpulan Petronas seperti Petronas Dagangan Bhd dan Yayasan Petronas turut menyumbang pek keperluan asas bagi memastikan keperluan harian mangsa dipenuhi.
Petronas Gas menegaskan komitmen untuk terus menyokong inisiatif pemulihan komuniti serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat punca kejadian.
"Fokus syarikat kekal pada aspek keselamatan awam, kelangsungan operasi serta jaminan bekalan gas negara", katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com








