KUALA LUMPUR 8 Okt - PETRONAS gagal dalam usahanya untuk menukar kes pertikaian bayaran gas melibatkan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd kepada perbicaraan penuh yang membolehkan saksi dipanggil dan disoal balas di mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib menolak permohonan PETRONAS untuk menukar saman pemula (OS) yang difailkan Shell MDS kepada writ tindakan dengan alasan pertikaian bayaran antara PETRONAS dan Petros hanya membabitkan isu undang-undang dan bukan fakta.
Beliau berkata, keputusan sama ada sesuatu kes perlu ditukar daripada OS kepada writ adalah tertakluk kepada penilaian mahkamah dan hanya wajar dilakukan jika terdapat fakta yang dipertikaikan yang memerlukan keterangan saksi.
"Tiada asas untuk menukar OS kepada writ kerana isu yang dibangkitkan berkaitan dengan perjanjian jualan gas (antara PETRONAS dan Shell MDS, serta antara Petros dan Shell MDS) serta instrumen kerajaan yang berkaitan.
"Tiada isu kredibiliti saksi kerana perkara ini melibatkan undang-undang persekutuan dan negeri. Ia adalah soal undang-undang, bukan fakta. Justeru, tidak ada keperluan untuk perbicaraan penuh kerana fakta tidak dipertikaikan dan isu hanya melibatkan bukti undang-undang serta dokumen,” katanya seperti dilaporkan The Edge.
Hakim Mahazan menegaskan, menukar kes kepada perbicaraan penuh hanya akan melambatkan penyelesaian kes tersebut.
Shell MDS mengambil pendirian neutral terhadap permohonan PETRONAS pada 21 Februari lalu untuk menukar prosiding kepada perbicaraan penuh, manakala Petros dan Kerajaan Sarawak membantah permohonan itu.
Mahazan turut menetapkan agar tarikh ditentukan bagi pemfailan dokumen, namun peguam PETRONAS, Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Aziz, memohon supaya pengurusan kes dijalankan terlebih dahulu untuk mendapatkan arahan lanjut.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 November 2025 bagi pengurusan kes seterusnya yang akan dijalankan secara dalam talian.
Prosiding itu turut disaksikan wakil Kerajaan Persekutuan, Peguam Persekutuan Muhammad Muhairi Mohamad Noh, Peguam Petros Foo Joon Liang, serta wakil Kerajaan Sarawak Datuk JC Foong.
Shell MDS, yang diwakili oleh Christopher Leong dan Janet Chai Pei Ying, memfailkan OS terhadap PETRONAS dan Petros pada November 2024 bagi meminta mahkamah menentukan sama ada bayaran gas ke loji syarikat itu di Bintulu perlu dibuat kepada PETRONAS atau Petros, selepas menerima invois daripada kedua-dua pihak.
Shell MDS sebelum ini menandatangani perjanjian bekalan gas dengan PETRONAS pada 2020 dan satu lagi perjanjian dengan Petros pada 2024, selepas Sarawak mengisytiharkan Petros sebagai pengagregator gas tunggal di negeri itu.
Syarikat itu juga memperoleh perintah mahkamah untuk menangguhkan bayaran kepada kedua-dua pihak sementara bekalan gas diteruskan. Petronas kemudiannya mencabar perintah itu, dan Mahkamah Rayuan mengarahkan Shell MDS membayar kepada Petronas serta menekankan keperluan penyelesaian segera.
Difahamkan, Shell MDS berhutang hampir RM1 bilion kepada PETRONAS, yang dijadualkan dibayar pada 6 Oktober 2025.
Sementara itu, Petros memfailkan saman berasingan terhadap PETRONAS di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghalang PETRONAS daripada menggunakan jaminan bank milik Petros bagi bayaran gas, dengan alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Sarawak di bawah undang-undang negeri. - DagangNews.com








