PETRONAS Chemicals catat kerugian bersih RM1.08 bilion pada 2QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals catat kerugian bersih RM1.08 bilion pada 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - PETRONAS Chemicals Group Berhad (PetChem) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion pada suku kedua  berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding untung bersih RM777 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan kerugian pertukaran asing dan susut nilai aset.

 

Pendapatan kumpulan juga menyusut 16% kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.73 bilion pada 2QFY24 disebabkan penyusutan jumlah jualan dan penurunan purata harga produk.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagi separuh pertama tahun ini, PetChem mencatatkan jumlah kerugian bersih sebanyak RM1.1 bilion, berbanding untung bersih sebanyak RM1.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan susut kepada RM14.09 bilion daripada RM15.23 bilion pada 1HFY24.

 

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak tiga sen sesaham dengan tarikh pembayaran pada 10 September 2025.

 

Bagi menangani keadaan industri yang kian mencabar, PetChem mempergiatkan kajian semula portfolio, pengoptimuman kos, serta penstrukturan semula organisasi selain mengkaji semula pelaburannya dalam syarikat usaha sama dan bersekutu.

 

Pada bahagian Olefin & Derivatif (O&D) serta Baja & Metanol (F&M), beberapa inisiatif ini mensasarkan peningkatan pulangan bersih jualan dan memperkasakan kecekapan logistik serta pelarasan pemulihan dan penyelenggaraan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran. 

 

Bagi bahagian Kimia Khusus, Kumpulan meneruskan langkah pengoptimuman tapak pembuatan, rantaian bekalan dan logistik untuk menyokong pembangunan dalam empat bidang utama: resin & salutan, penjagaan diri, cecair kejuruteraan dan rumusan polimer terkini.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Group, Mazuin Ismail berkata, 2QFY25  membawa beberapa cabaran operasi dari dalaman mahupun luaran yang memberi kesan kepada prestasi loji-loji mereka dan dari segi dalaman pihaknya menutup PC Ethylene bagi kerja pembaikan dinding tangki tanpa menjejaskan komitmen kumpulan.

 

Beliau berkata, pihaknya turut mengurangkan operasi di PC Aromatics berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan.

 

"Dari segi luaran, loji kami di PC Fertiliser Kedah terjejas akibat gangguan bekalan bahan suapan susulan insiden talian paip gas di Putra Heights. Gangguan ini telah diselesaikan dan operasi telah dipulihkan sepenuhnya pada Jun 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas berkenaan pertumbuhan, Mazuin berkata, pasaran komoditi kekal mencabar kesan lambakan bekalan serta ketegangan geopolitik berterusan, bagaimanapun, permintaan terus meningkat, terutamanya di Asia, didorong pertambahan jumlah penduduk dan pembangunan bandar. 

 

"Loji kami di Pengerang, yang dibina untuk menyokong pertumbuhan ini, sedang beroperasi untuk memenuhi Ujian Kebolehpercayaan Pemiutang (CRT) menjelang akhir tahun," katanya.

 

Mazuin berkata, loji Melamin di Gurunkini bersedia untuk mula beroperasi dan akan menggunakan urea dari PC Fertiliser Kedah sebagai bahan suapan, selari dengan pelan strategik pembangunan PetChem untuk lebih berkembang dalam derivatif. 

 

 

 

 

 

 

Beliau juga melaporkan bahawa loji Isononanol (INA) di Pengerang, Johor telah berjaya mencapai Tarikh Operasi Komersil (COD) pada 12 Ogos 2025. 

 

"Memandangkan persekitaran pasaran yang semakin dinamik, kami sedang menjalankan kajian semula portfolio secara strategik bagi keseluruhan rantaian nilai kami. Menjangkakan kos operasi akan meningkat disamping keperluan modal semakin bertambah, kami turut mencatatkan kerugian pelupusan aset Perstorp," katanya.- DagangNews.com