KUALA LUMPUR 29 Ogos - PETRONAS mencatatkan penyusutan hasil kepada RM132.6 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), berbanding RM173.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan itu disebabkan kesan daripada operasi yang telah dihentikan susulan pelupusan Engen Group pada Mei 2024, pertukaran mata wang asing yang tidak memihak serta harga purata realisasi yang lebih rendah bagi produk petroleum, minyak mentah dan kondensat sejajar dengan trend penurunan harga penanda aras.
Seiring dengan hasil yang lebih rendah, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan sebanyak RM26.2 bilion mencatatkan penurunan sebanyak 19% berbanding RM32.4 bilion.
Kumpulan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM54.4 bilion, lebih rendah sebanyak 15% sejajar dengan penurunan keuntungan.
Aliran Tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM48.1 bilion, susut sebanyak RM6.7 bilion, didorong oleh EBITDA yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang dibayar.
Jumlah aset meningkat kepada RM780.7 bilion setakat 30 Jun 2025 berbanding RM766.7 bilion setakat 31 Disember 2024. Peningkatan itu disebabkan hasil bersih daripada terbitan nota di pasaran bon dolar Amerika Syarikat (AS).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, kumpulan itu teguh dalam komitmen bagi memperkukuh daya tahan perniagaan dan portfolio demi pertumbuhan jangka panjang di tengah-tengah persekitaran makro yang semakin mencabar pada separuh pertama tahun 2025.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan fokus Strategi Peralihan Tenaga, pengoptimuman portfolio dan pengurusan modal yang berhemat, pihaknya sedang mempercepatkan transformasi penting bagi terus membekalkan tenaga secara selamat, boleh dipercayai dan mampan.
"Ketika industri berdepan dengan kenaikan kos dan penurunan harga penanda aras yang memberi tekanan ke atas margin keuntungan, PETRONAS akan terus menggandakan usaha dalam kecemerlangan komersial dan operasi, penambahbaikan portfolio melalui perkongsian strategik, serta pengurusan kewangan yang berdisiplin.
"Langkah-langkah ini bertujuan meletakkan PETRONAS dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk meningkatkan kecekapan dan membina asas yang mantap bagi pertumbuhan masa depan.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, PETRONAS tetap komited untuk terus menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan serta menyumbang kepada pembinaan sistem tenaga yang kukuh dan terjamin demi masa depan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Tinjauan
PETRONAS menjangkakan harga minyak kekal lemah disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan, ketidaktentuan makroekonomi, landskap peraturan yang terus berkembang, serta penamatan secara beransur-ansur pemotongan pengeluaran oleh OPEC+ yang akan terus membentuk semula dinamik tenaga global dan aliran perdagangan.

Dalam menghadapi pasaran global yang kompleks dan cabaran operasi, kumpulan sedang menjalani transformasi strategik dengan tumpuan yang lebih fokus terhadap penambahbaikan portfolio dan kerjasama strategik, serta peningkatan produktiviti dan kecekapan kos.
Usaha-usaha itu memacu kedudukan PETRONAS sebagai sebuah syarikat tenaga bersepadu yang komited untuk menyediakan penyelesaian yang selamat, boleh dipercayai dan mampan, sambil mengekalkan kekuatan kewangan dan daya tahan jangka panjang.
Dari segi keselamatan tenaga, PETRONAS sedang bergerak ke arah penyampaian hidrokarbon yang lebih berdaya saing dengan kos dan pelepasan yang lebih rendah.
Ini disokong oleh pelbagai penemuan dan pembangunan huluan, khususnya di Malaysia, Suriname, Indonesia dan Angola.
Penghantaran pertama kargo LNG dari fasiliti LNG Canada yang baru siap menunjukkan kejayaan strategik dan mengukuhkan kedudukan PETRONAS sebagai pembekal LNG global yang dipercayai, sekali gus mengembangkan jejak bekalannya.
Kumpulan akan turut memperkukuh rantaian nilai karbon rendah yang bersepadu melalui pelaburan yang disasarkan dalam tenaga solar dan hab rumusan tenaga. - DagangNews.com








