PETRA luluskan 48 projek RE, bakal jana pelaburan RM1.87 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRA luluskan 48 projek RE, bakal jana pelaburan RM1.87 bilion

KUALA LUMPUR 18 Julai - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia meluluskan pembangunan 48 projek Tenaga Boleh Baharu (RE) daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kecil dengan jumlah kapasiti sebanyak 181.25 megawatt (MW), di bawah mekanisme Tarif Galakan (FiT).

 

Kementerian itu berkata, projek RE yang diluluskan itu dijangka menjana pelaburan bernilai RM1.87 bilion dalam sektor RE dan akan mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) seawal 2028.

 

"Pelaksanaan projek RE baharu di bawah mekanisme FiT ini merupakan sebahagian daripada komitmen PETRA bagi meningkatkan peratusan penggunaan RE dalam campuran bekalan elektrik negara kepada 70% menjelang 2050.

 

"Usaha meningkatkan kapasiti sumber biogas, biojisim dan hidro kecil juga akan memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik negara dengan mempelbagaikan sumber penjanaan RE serta menyediakan bekalan elektrik yang stabil atau konsisten," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kementerian itu yakin, inisiatif RE berasaskan mekanisme FiT akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri RE domestik yang lebih progresif dan positif, selaras dengan prinsip teras Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, inovasi dan kemakmuran bersama.

 

"Kerajaan telah mengumumkan tawaran dan pembukaan permohonan kelulusan FiT berjumlah 190MW bagi tiga sumber RE – biogas, biojisim dan hidro kecil – dari 15 Januari hingga 19 Februari 2025," katanya.

 

PETRA berkata, kerajaan telah menjemput pemaju RE yang layak untuk mengemukakan permohonan bagi menyertai proses e-bidaan dalam tempoh tersebut.

 

Sebanyak 59 permohonan telah diterima, dan daripada jumlah itu, 48 permohonan yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan yang ditetapkan telah diluluskan.

 

Kelulusan tersebut merangkumi 20 projek dengan jumlah kuota 30.93MW bagi penjanaan tenaga hijau daripada biogas, lapan projek dengan kuota 53.50MW (biojisim), dan 20 projek dengan kuota 96.82MW (hidro kecil).

 

Maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidaan di bawah mekanisme Tarif Galakan yang dikendalikan oleh SEDA Malaysia boleh didapati di laman web rasmi www.seda.gov.my. - DagangNews.com