PeterLabs ambil tindakan undang-undang halang EGM singkir lembaga pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PeterLabs ambil tindakan undang-undang halang EGM singkir lembaga pengarah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Mei - PeterLabs Holdings Bhd mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas, Datin Lin Ching Yein dan pemegang saham utama, Bu Yaw Seng, mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menyingkirkan ahli lembaga pengarah sedia ada.

 

PeterLabs berkata, pihaknya memohon perintah injunksi sementara di Mahkamah Tinggi Seremban untuk membatalkan notis EGM yang dikemukakan pada 15 Mei lalu dan menghalang Ching Yein serta Yaw Seng daripada menganjurkan EGM tersebut.

 

"EGM yang dicadangkan bertujuan memecat tujuh ahli lembaga pengarah sedia ada dan melantik dua pengganti baharu. 

 

Namun, PeterLabs berpendapat tindakan ini tidak memanfaatkan syarikat atau pemegang kepentingan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Semalam, PeterLabs memaklumkan, syarikat bersama anak syarikatnya, Thye On Tong Trading Sdn Bhd, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Ching Yein dan Pengarah Eksekutif yang digantung tugas, Datuk Loh Saw Foong.

 

Tindakan itu diambil susulan pengumuman sebelum ini pada 13 dan 26 Mei 2025 berhubung penggantungan Saw Foong kerana didakwa melanggar amanah. 

 

Syarikat juga menuntut beberapa perintah mahkamah dan ganti rugi melalui tindakan berkenaan. - DagangNews.com