Pestech raih kontrak RM270.41 juta kerja pembinaan, selenggara rel kereta api elektrik di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestech raih kontrak RM270.41 juta kerja pembinaan, selenggara rel kereta api elektrik di Lembah Klang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pestech International Bhd, memenangi kontrak bernilai RM270.41 juta daripada pemegang saham utamanya, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, untuk Fasa 2 projek landasan kereta api berkembar elektrik Lembah Klang.

 

Kontrak itu diterima oleh anak syarikat Pestech, Pestech Technology Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur projek tersebut.

 

"Ia termasuk tempoh jaminan selama 24 bulan selepas sijil siap kerja dikeluarkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 16 Januari 2029," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Kontrak berkenaan diklasifikasikan sebagai transaksi berkaitan pihak, memandangkan Dhaya Maju memiliki 57.52% saham Pestech selepas melabur RM160 juta dalam 1.33 bilion saham syarikat.

 

Pestech menjangka, kontrak itu akan meningkatkan pendapatannya dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

Dalam perkembangan lain, Pestech melaporkan kerugian bersih sebanyak RM38.32 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025, berbanding keuntungan bersih RM1.65 juta pada suku sebelumnya.

 

Keuntungan suku sebelumnya disokong oleh keuntungan pertukaran wang asing tidak direalisasi sebanyak RM22.1 juta akibat pengukuhan dolar Amerika berbanding ringgit.

 

Bagaimanapun, pendapatan bagi suku terkini meningkat sebanyak 4% kepada RM87.9 juta berbanding RM84.4 juta pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen landasan kereta api dan penghantaran elektrik.

 

Perbandingan tahun ke tahun tidak diberikan kerana kumpulan telah menukar tahun kewangan dari 30 September kepada 31 Mac.

 

Pestech dalam pada itu berkata, syarikat berada dalam kedudukan yang baik di Malaysia Timur dan Barat untuk mengambil peluang daripada permintaan yang semakin meningkat bagi kerja naik taraf infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan sistem elektrik.

 

"Pestech ada kelebihan sebagai kontraktor penuh dalam projek elektrik landasan kereta api, dengan kemampuan mereka bentuk dan membina sendiri, serta memiliki peralatan dan mesin khas.

 

"Nilai tender besar yang sedang berjalan kini berjumlah kira-kira RM1.5 bilion. Kami teruja untuk terlibat dalam pembangunan grid elektrik hijau serta projek pembekalan elektrik landasan dan sistem kereta api bandar," katanya. - DagangNews.com