Peruntukan RM611 bilion menerusi RMK13 dijangka beri lonjakan besar kepada sektor pembinaan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan RM611 bilion menerusi RMK13 dijangka beri lonjakan besar kepada sektor pembinaan - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sektor pembinaan dijangka menerima lonjakan ketara susulan pengumuman kerajaan mengenai peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM611 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) melihat rancangan itu sebagai petanda kukuh terhadap pelaburan berterusan dalam infrastruktur bagi tempoh antara tahun 2026 hingga 2030.

 

Katanya, daripada RM611 bilion yang diperuntukkan, RM430 bilion akan dibiayai oleh kerajaan, manakala baki RM181 bilion akan dibiayai syarikat berkaitan kerajaan, cabang pelaburan dan perkongsian awam-swasta (PPP).

 

Perkara ini turut mencatatkan peningkatan sebanyak 8% berbanding peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 — yang sebelum ini mencatatkan lonjakan 54% berbanding RM260 bilion di bawah RMK11.

 

“Ini merupakan petanda yang jelas positif bagi industri pembinaan di Malaysia. Skala pelaburan ini menunjukkan prospek yang kukuh bagi pemberian projek dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RMK13 beri tumpuan penciptaan nilai bagi pacu pertumbuhan, pelaburan RM611 bilion

 

Maybank IB berkata, pelan pembangunan itu mengukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan dipacu pembangunan infrastruktur, sekali gus menjanjikan peluang besar dalam bidang kejuruteraan awam, rel, pelabuhan dan pengangkutan bandar.

 

Katanya, antara projek utama yang disahkan semula dalam RMK13 termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, Projek Transit Autonomi Bertingkat Wilayah Iskandar (ART), dan Projek Transit Aliran Ringan Laluan Mutiara (LRT).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua projek ECRL dan landasan berkembar kini berada pada peringkat pelaksanaan yang maju.

 

Sementara itu, pembangunan infrastruktur pelabuhan dijangka mendapat momentum baharu, dengan pelabuhan kargo Pulau Carey, peluasan Westports 2, dan peluasan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut disebut dalam rancangan tersebut.

 

Maybank IB menganggarkan, projek berkaitan pelabuhan itu sahaja boleh menjana kontrak pembinaan bernilai RM45.5 bilion dalam tempoh sederhana.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu kecewa dengan pengguguran Projek Laluan MRT Lembah Klang 3 (KVMRT3) daripada dokumen RMK13, walaupun sebelum ini terdapat petunjuk positif mengenai kebangkitan semula projek tersebut.

 

“Ketiadaan KVMRT3 agak mengecewakan, terutamanya memandangkan KVMRT1 dan KVMRT2 sebelum ini telah menjana kontrak masing-masing sebanyak RM21 bilion dan RM31 bilion.

 

"Skala dan impak projek ini sepatutnya mampu menjadi pemangkin utama kepada sektor pembinaan,” katanya. - DagangNews.com