KUALA LUMPUR 21 Ogos – Peruntukan RM1.4 bilion bagi Skim Insentif Pembiayaan Penanaman Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) sangat penting dalam membantu pekebun kecil bebas, yang kini menyumbang 14.6 peratus daripada jumlah kawasan sawit di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia bertujuan menampung penanaman semula seluas 82,979 hektar bagi pekebun kecil dalam tempoh lima tahun secara berperingkat.
“Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kementerian untuk memastikan industri sawit Malaysia kekal mampan, berdaya saing, dan mampu memberikan pulangan optimum, khususnya kepada pekebun kecil bebas.
“Walaupun kerajaan kini memperuntukkan RM100 juta setahun untuk TSPKS 2.0, yang menyasarkan 5,900 hektar, jumlah yang disalurkan kepada pekebun kecil masih tidak mencukupi,” katanya dalam sesi penggulungan usul Rancangan Malaysia ke-13 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, kementerian akan memohon peruntukan tahunan lebih besar dengan purata RM280 juta untuk diagihkan kepada semua pekebun kecil.
“Kami masih menunggu kelulusan, namun permohonan ini akan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kos penanaman semula sawit masih tinggi, antara RM18,000 hingga RM20,000 setiap hektar.
“Walaupun RM1.4 bilion hanya dapat menampung sebahagian keperluan pekebun kecil bebas, ia sangat penting dalam memperkukuh sokongan berterusan kepada mereka, yang kini menyumbang 14.6 peratus daripada jumlah kawasan sawit ditanam di negara ini.
“Kadar penanaman semula yang rendah telah menyebabkan peningkatan kawasan pokok sawit tua, sekali gus menjejaskan produktiviti tandan buah segar,” katanya.
Antara 2014 hingga 2024, kadar penanaman semula purata hanya 2% setahun, di bawah sasaran 4% manakala pokok berusia lebih 25 tahun meningkat daripada 5.6% (302,004 hektar) pada 2014 kepada 9.3% (520,067 hektar) pada Disember 2024.
Beliau berkata, bagi mencapai kadar penanaman semula ideal 4% setahun, kementerian terus menyokong syarikat perladangan, pengusaha dan pekebun kecil dalam melaksanakan program penanaman semula bagi memastikan pokok sawit lama dan tidak produktif digantikan dengan bahan tanaman berkualiti tinggi.
Berhubung cadangan menggunakan Cukai Keuntungan Luar Biasa (Windfall Profit Tax) dan Elaun Pelaburan Semula (Reinvestment Allowance) untuk mempercepat penanaman semula, Johari berkata perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
“Kementerian telah mengemukakan cadangan semasa sesi Bajet 2025 dan ia kini sedang dalam semakan,” katanya. - DagangNews.com








