KUALA LUMPUR 22 Sept - Eksport Malaysia dijangka terus mendapat sokongan sepanjang tahun ini berikutan perubahan laluan perdagangan serta momentum kukuh dalam sektor perkilangan, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E).
CGS International berkata, bagi lapan bulan 2025 (8M25), eksport negara meningkat 3.9% tahun ke tahun (yoy) manakala import naik 3.6% yoy, menandakan prestasi perdagangan yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Katanya, eksport Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada trend pengalihan pasaran ke Mexico, yang telah menunjukkan pertumbuhan berterusan sejak April 2025.
Eksport Malaysia ke Mexico melonjak 114% yoy pada Ogos 2025, menyumbang 2.4% daripada jumlah eksport bulanan.
“Langkah pengalihan destinasi penghantaran ini dilihat sebagai strategi industri E&E untuk bersedia menghadapi kemungkinan tarif baharu Amerika Syarikat terhadap produk E&E, sekali gus mengurangkan risiko kenaikan kos operasi,” katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertumbuhan eksport Malaysia perlahan, hanya 1.9% pada Ogos - DOSM
Dengan permintaan global terhadap semikonduktor yang kekal kukuh serta pertumbuhan berterusan dalam penghantaran barangan perkilangan, pengalihan pasaran itu dijangka menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan eksport Malaysia pada 2025.
Mengikut destinasi, eksport ke AS mencatatkan penyusutan 16.7% yoy pada Ogos 2025, iaitu penurunan pertama sejak Disember 2023.
Namun begitu, dipercayai sebahagian penghantaran telah dialihkan ke Mexico, apabila eksport ke Mexico melonjak 114% yoy pada Ogos 2025, menyumbang 2.4% daripada jumlah eksport Malaysia bagi bulan tersebut.
"Sementara itu, eksport ke China meningkat 10.1% yoy pada Ogos 2025, iaitu pertumbuhan tertinggi sejak Ogos 2022, dipacu penghantaran lebih tinggi produk E&E serta sekerap logam.
"Eksport ke China merangkumi 13.1% daripada jumlah eksport pada Ogos 2025, melebihi bahagian eksport ke AS yang hanya 12.4%," katanya.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui potensi risiko gangguan perdagangan akibat ketegangan geopolitik terkini antara Israel dan Qatar.
"Gangguan terhadap bekalan tenaga daripada Asia Barat boleh mendorong kenaikan harga minyak mentah sekali gus menekan permintaan global," katanya. - DagangNews.com








