Perubahan dasar tarif Trump bayangi unjuran suku ketiga Hiap Teck, kata HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perubahan dasar tarif Trump bayangi unjuran suku ketiga Hiap Teck, kata HLIB Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 April - Hiap Teck Venture Bhd dijangka menunjukkan peningkatan prestasi dalam segmen perdagangan dan hiliran pada suku ketiga, tetapi ia mungkin terhalang oleh ketidakpastian yang semakin meningkat akibat perubahan dasar Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) terkini, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan Hiap Teck Venture menjangkakan prestasi suku ketiga akan disokong oleh kos input yang lebih rendah, permintaan yang lebih kukuh kerana tiada musim cuti perayaan dan peningkatan berterusan dalam perniagaan perancahnya.

 

"Namun, keyakinan ini mungkin terganggu oleh ketidakpastian yang semakin meningkat daripada perkembangan dasar terkini, yang boleh mengganggu dinamik perdagangan antarabangsa dan menyebabkan ketidaktentuan pasaran yang lebih tinggi," kata HLIB Research dalam satu nota kajian.

 

HLIB Research menurunkan ramalan pendapatan teras syarikat sebanyak 19.2 peratus dan 6.8 peratus bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dan FY26, terutamanya disebabkan oleh anggaran margin pendapatan yang lebih rendah untuk segmen perdagangan dan hiliran.

 

Firma itu turut menaikkan ramalan keuntungan bersih untuk FY27 sebanyak 6.6 peratus dan mengekalkan saranan 'beli' untuk saham tersebut dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu 38 sen. - DagangNews.com