Pertumbuhan pinjaman Malaysia meningkat kepada 5.6% pada Ogos — BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman Malaysia meningkat kepada 5.6% pada Ogos — BNM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Pertumbuhan pinjaman kasar di Malaysia meningkat pada Ogos, disokong oleh peningkatan pinjaman perniagaan dan penerbitan bon korporat, menurut data terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang diterbitkan hari ini.

 

BNM memaklumkan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 5.6% tahun ke tahun pada Ogos berbanding 5.5% pada Julai. 

 

“Bon korporat tertunggak naik kepada 5.6% berbanding 4.8% pada Julai, manakala pertumbuhan pinjaman tertunggak kekal stabil pada 5.6%.

 

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.2% daripada 4.9% pada Julai, dipacu oleh pembiayaan modal kerja yang lebih tinggi dalam kalangan syarikat besar.

 

“Pinjaman berkaitan pelaburan pula kekal stabil manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah pula kekal pada 5.9%, disokong oleh permintaan yang berterusan bagi kebanyakan tujuan,” menurut kenyataan itu.

 

BNM berkata, kualiti aset bank kekal “sihat dan stabil” dengan hanya 1.4% daripada semua pinjaman bermasalah atau berisiko tidak dibayar.

 

Selepas mengambil kira pemulihan, nisbah pinjaman bermasalah bersih adalah 0.9%.

 

Selain itu, nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab peraturan meningkat kepada 146.8% daripada 128.9% pada Julai.

 

Keadaan kecairan juga kekal sihat, dengan nisbah liputan kecairan agregat berada pada 146.8% pada Ogos berbanding 158.4% pada Julai manakala nisbah pinjaman terhadap dana kekal stabil pada 83% berbanding 82.8% sebelum ini. - DagangNews.com