Pertumbuhan hasil Cloudpoint pada 2HFY25 berpotensi dipacu projek infrastruktur AI, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan hasil Cloudpoint pada 2HFY25 berpotensi dipacu projek infrastruktur AI, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Projek infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan hasil utama Cloudpoint Technology pada separuh kedua 2025 (2HFY25) apabila sebahagian besar syarikat meneroka penggunaan teknologi AI.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu mencatatkan keputusan 2QFY25 memberangsangkan dengan pendapatan melonjak 31% manakala keuntungan bersih teras naik 22% dipacu permintaan kukuh bagi rumusan digital, perkhidmatan awan serta pemulihan ketara dalam segmen keselamatan siber.

 

Bagaimanapun, katanya, tumpuan kini terarah kepada lonjakan permintaan terhadap infrastruktur AI yang dijangka membuka ruang pertumbuhan baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Cloudpoint sedang berunding dengan pelanggan korporat bagi menaik taraf infrastruktur IT mereka bagi menyokong pelaksanaan AI termasuk aspek rangkaian, keselamatan siber dan beban kerja data.

 

"Peningkatan ini semakin penting bagi organisasi yang mahu memperkukuh keupayaan AI di tengah-tengah arus pendigitalan yang semakin pesat.

 

"Gelombang AI kini menjadi realiti. Kami menyaksikan peningkatan permintaan daripada pelanggan yang ingin membangunkan sistem yang bersedia untuk AI, khususnya dalam rangkaian dan keselamatan data,” katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, Cloudpoint dilihat berpotensi besar untuk menangkap peluang pertumbuhan jangka panjang dalam bidang itu. 

 

Perkhidmatan IT berulang syarikat juga kekal stabil, memberikan asas pendapatan yang kukuh untuk menyokong usaha penerokaan dalam teknologi baharu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.13 sesaham.

 

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk membawa masuk sekurang-kurangnya tiga hingga lima pelanggan baharu tahun ini, manakala pelanggan sedia ada dijangka meluaskan penggunaan rumusan ServiceNow.

 

Difahamkan, kumpulan itu sedang berada dalam perbincangan lanjut dengan sebuah bank tempatan, yang merancang untuk berpindah ke platform ServiceNow secara berperingkat mengikut modul.

 

Selain itu, kumpulan turut meneroka peluang dengan dua firma pengurusan dana berkaitan kerajaan, yang sedang merancang untuk memindahkan beban kerja sedia ada kepada sistem automasi dalaman.

 

Segmen perkhidmatan awan dijangka akan menyumbang sebanyak 12% hingga 14% daripada jumlah hasil kumpulan pada tahun ini.

 

"Kami mengakalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.22 sesaham," katanya.- DagangNews.com