KUALA LUMPUR 19 Sept – Pertumbuhan eksport Malaysia pada Ogos 2025 mencatatkan peningkatan sederhana 1.9% kepada RM131.6 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jumlah itu lebih perlahan berbanding jangkaan pasaran yang mengunjurkan pertumbuhan 3% dan jauh lebih rendah berbanding kenaikan 6.8% pada Julai.
DOSM dalam satu kenyataan berkata, prestasi lemah itu dipengaruhi oleh penurunan ketara eksport petroleum, namun diimbangi pertumbuhan kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Pengeksport digalakkan mempertingkat keupayaan serta mempelbagaikan penawaran produk selain memperkukuh kecekapan rantaian bekalan bagi mengurangkan kesan perubahan dasar perdagangan dan ketidaktentuan pasaran global.
“Malaysia juga telah mengiktiraf 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan pelbagai negara yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengeksport,” kata DOSM.

Sektor E&E kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 42% daripada jumlah eksport dengan pertumbuhan 10.1% pada Ogos berbanding setahun lalu.
Selain itu, eksport jentera, peralatan dan komponen turut mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 14.5%.
Namun, eksport produk petroleum menjunam 17.6%, manakala minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat 9.7%.
DOSM berkata, China kekal sebagai rakan dagangan utama dengan pertumbuhan eksport 10.4%, manakala eksport ke Taiwan melonjak 32.7%.
“Sebaliknya, eksport ke Amerika Syarikat merosot 16.7% manakala ke Jepun susut 15.4%, mencerminkan kelembapan permintaan di pasaran utama.
“Bagi import kasar, Malaysia merekodkan penurunan 5.9% tahun ke tahun kepada RM115.47 bilion. Import barangan perantaraan susut 16.8%, manakala import barangan pengguna berkurang 8.9%,” katanya.
Selain itu, import barangan modal meningkat 11% berikutan peningkatan permintaan terhadap peralatan pengangkutan industry namun, dari segi bulanan, import jatuh 8%.
DOSM berkata, secara keseluruhan, lebihan dagangan negara pada Ogos mencecah RM16.13 bilion, lebih daripada dua kali ganda berbanding setahun lalu dan meningkat 10.4% berbanding bulan sebelumnya.- DagangNews.com








