KUALA LUMPUR 25 Sept - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada tahun 2026 apabila permintaan global semakin lemah dan faktor luaran terus menekan sektor eksport, kata Australia and New Zealand Banking Group (ANZ).
ANZ menekankan, permintaan global yang semakin surut, kesan tarif baharu, serta pertumbuhan global yang sederhana merupakan antara faktor utama yang mengekang ekonomi.
Bank itu menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.3% pada 2025 — masih dalam julat unjuran baharu Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0% hingga 4.8% — namun melihat kadar yang sedikit perlahan 4.2% pada 2026.
“Pertumbuhan Malaysia semakin perlahan dan kehilangan momentum apabila faktor luaran memberi tekanan kepada prospek masa hadapan,” kata ANZ dalam laporan Asia Economic Outlook 4Q2025.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatat 4.4% pada separuh pertama 2025 (1H2025).
Hasil eksport Malaysia mula terjejas, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik, berikutan harga pengeluar yang menurun serta permintaan awal dari Amerika Syarikat (AS) yang semakin pudar. Import barangan pertengahan juga susut pada Julai dan Ogos, memberi isyarat kepada kelemahan yang berterusan.
Sementara itu, penggunaan domestik — yang merangkumi kira-kira 60% daripada KDNK — kekal di bawah kadar pertumbuhan pra-pandemik, apabila hanya berkembang 5.2% tahun ke tahun dalam 1H2025 berbanding 6.9% sebelum COVID-19. Ini berlaku meskipun negara menikmati kadar pengangguran rendah dan kadar penyertaan tenaga kerja yang meningkat.
Menurut ANZ, kelembapan itu berlaku kerana lebih daripada 60% pekerjaan baharu dalam tiga tahun lalu terdiri daripada pekerjaan berkemahiran rendah atau separa mahir, yang membawa kepada pertumbuhan gaji yang terhad serta kuasa beli yang terhad.
“Walaupun inisiatif kerajaan [untuk menyokong perbelanjaan isi rumah seperti pemindahan tunai sekali sahaja RM100 dan subsidi barangan keperluan] bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup, kesannya terhadap penggunaan dijangka sederhana,” katanya.
Secara keseluruhan, ANZ berpandangan, pelaburan dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan momentum kukuh dalam pembentukan modal tetap kasar sektor awam dan swasta.
Jumlah pelaburan yang diluluskan melonjak 32% tahun ke tahun dalam 1H2025, yang menurut ANZ menunjukkan pembentukan modal yang berterusan serta sokongan jangka pendek terhadap pertumbuhan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan tekanan inflasi Malaysia kekal terkawal. Ia mengunjurkan inflasi utama purata 1.6% pada 2025, sebelum meningkat kepada 2.5% pada 2026, dengan peluasan sederhana cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menambah kurang daripada 0.25 mata peratusan manakala penurunan harga petrol memberi tekanan penurunan kecil.
Di seluruh Asia, ANZ menjangkakan pertumbuhan KDNK 4.9% pada 2025 — meningkat daripada unjuran sebelumnya 4.1% — sebelum sederhana kepada 4.7% pada 2026, apabila kesan penuh tarif dan pertumbuhan global yang perlahan mula dirasai.
“Kadar faedah yang lebih rendah dan dasar fiskal yang secara keseluruhannya neutral dijangka tidak memberi kesan besar terhadap pertumbuhan (di rantau Asia),” kata bank itu, namun menjangkakan mata wang serantau mendapat manfaat daripada pemotongan kadar faedah AS dan pasaran bon mata wang tempatan kekal stabil. - DagangNews.com








