KUALA LUMPUR 10 April - Prospek Swift Haulage Bhd diunjur positif dipacu pertambahan trak elektrik lima tan ke dalam armadanya dan rancangan menambah dua lagi penggerak utama elektrik menjelang akhir tahun ini, kata MIDF Research.
Katanya, setiap penggerak utama elektrik berharga kira-kira RM1.3 juta, 2.6 kali ganda lebih mahal daripada penggerak utama diesel.
Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, kenderaan elektrik itu mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga RM2,000 sebulan, menyokong anggaran pulangan sebanyak 12% sepanjang jangka hayat baterinya selama lapan tahun.
"Kumpulan berhasrat mendapatkan penggerak utama elektrik dan trak secara eksklusif menjelang 2030, untuk mencapai pengurangan 5% dalam pelepasan karbonnya sendiri," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatannya untuk syarikat pengangkutan, tetapi menaik taraf stok kepada "beli" daripada "neutral".
Firma penyelidikan itu berkata, prospek usaha kumpulan itu dalam trak elektrik adalah sangat positif, dengan hayat bateri yang lebih baik, jaminan yang lebih lama, dan infrastruktur yang matang menjadikan penggunaan lebih berdaya maju.
Katanya, dengan pelan hala tuju yang jelas dan keputusan awal yang kukuh, kumpulan itu meletakkan dirinya di barisan hadapan logistik yang mampan, bersedia untuk skala apabila pasaran semakin matang.
"Swift Haulage mengambil langkah perintis ke arah logistik mampan dengan memperkenalkan penggerak utama elektrik Malaysia yang pertama dari Volvo pada suku keempat 2023.
"Pada masa ini, ia mengendalikan dua penggerak utama elektrik, dengan keupayaan pengecasan pantas, membolehkan pengecasan penuh dalam 45 minit menggunakan pengecas 180kW.
"Setiap trak mempunyai jarak pemanduan sehingga 300km, menjadikannya ideal untuk perjalanan bandar dan rentas sempadan ke Singapura, dengan sokongan dua stesen pengecas dalaman dan perkongsian strategik dengan Shell Recharge," katanya.
Penggerak utama elektriknya diterima baik Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, IKEA Malaysia, Nestle (M) Bhd dan Volvo Malaysia, kata MIDF Research.
Swift Haulage memastikan 100% penggunaan trak dengan menggunakan dua pemandu bagi setiap kenderaan, beroperasi secara 12 jam untuk meminimumkan masa henti. Keperluan penyelenggaraan adalah minimum, dengan servis rutin dijadualkan setiap enam bulan, tambah firma penyelidikan itu.
Peralihan itu disokong oleh pembiayaan hijau dan elaun cukai pelaburan hijau kerajaan, yang kedua-duanya telah membantu mengurangkan halangan kepada penggunaan trak elektrik.- DagangNews.com








