KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pertama Digital Bhd (Pertama) melantik warganegara Singapura, Lim Nasrul Halim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 6 Ogos 2025.
Syarikat perkhidmatan kewangan tersebut menyatakan, kepakaran Halim merangkumi pembangunan perniagaan strategik dan pengembangan jenama global; sistem pengurusan prestasi lanjutan (termasuk objektif dan hasil utama serta pembangunan metrik); serta pengumpulan dana dan pengurusan modal teroka, terutamanya dalam sektor teknologi.
“Sepanjang 20 tahun kepimpinan korporatnya, Halim berusia 40 tahun telah memegang peranan utama merentasi pelbagai industri, termasuk membimbing sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia, menyumbang kepada Enterprise Development Centre di Singapura, serta menerajui pertumbuhan syarikat teknologi global dan jenama antarabangsa.
“Keupayaannya melaksanakan strategi berskala besar dan menjana pertumbuhan mampan menyerlahkan kepakarannya dalam mengemudi pasaran yang kompleks, memupuk inovasi dan mencapai hasil transformasi perniagaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025, Pertama Digital mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM93,000, berbanding kerugian bersih RM1.6 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM2.35 juta daripada RM1.69 juta setahun lalu. - DagangNews.com








