KUALA LUMPUR 29 Julai – Edra Power Holdings Sdn Bhd, bersama syarikat induknya CGN Energy International Co Ltd (CGNEI) dari China telah menganjurkan Persidangan Tahunan Penjanaan Kuasa Turbin Gas 2025 yang menghimpunkan lebih 200 wakil dari 47 organisasi dalam industri tenaga dari China, Malaysia dan Korea Selatan.
Persidangan dengan tema “Memperkasa Masa Depan melalui Kebijaksanaan Kolektif dan Kerjasama Menang-Menang” itu menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, mempercepat inovasi teknologi penjanaan kuasa dan menyokong peralihan ke arah tenaga rendah karbon di ASEAN.
Pengarah Urusan Edra, Jiang Xin berkata, acara ini selari dengan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, serta menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Kami percaya persidangan ini bukan sahaja menjadi platform dialog teknikal, malah mempercepat pemindahan teknologi dan pelaburan strategik dalam tenaga bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Persidangan yang berlangsung semalam turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif Edra dan CGNEI dalam memperkukuh hubungan tenaga dua hala dan membina masa depan mampan bersama.
Persidangan yang turut berlangsung secara hibrid dari Kuala Lumpur dan Shenzhen itu menampilkan ucaptama daripada pemimpin industri termasuk Majlis Elektrik China, CGN Korea Holdings dan Operator Sistem Grid Malaysia.
Sesi petang pula menyaksikan penganjuran bengkel teknikal turbin gas yang membincangkan pelbagai aspek teknikal seperti penyesuaian laluan stim, integrasi pembakaran hidrogen dan peningkatan kecekapan loji janakuasa kitaran gabungan.
Edra turut mengumumkan pelantikan pakar ke dalam Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI serta menyampaikan anugerah kepada rakan kongsi industri atas sumbangan mereka dalam pembangunan sektor tenaga.
Sebagai pengeluar kuasa bebas (IPP) kedua terbesar di Malaysia dan antara peneraju di Asia Tenggara, Edra komited untuk terus memainkan peranan utama dalam mempercepatkan transformasi tenaga mampan di rantau ini. - DagangNews.com








