KUALA LUMPUR 15 Julai – Persidangan Pengurusan Perubahan ASEAN 2025 (ACMC) yang dijadual berlangsung pada 1-2 Oktober depan akan menjadi platform utama dalam menangani cabaran dan kepimpinan strategik di Rantau Asia Tenggara.
Bertemakan “Meningkatkan Hasil, Perubahan yang Tepat!”, persidangan yang dianjurkan K-Pintar Sdn Bhd itu bakal menghimpunkan pemimpin dan peserta dari seluruh Asia Tenggara dengan matlamat membina barisan kepimpinan yang lebih berani, progresif dan berfokus kepada keperluan rakyat.
Pengerusi ACMC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif K-Pintar, R.A. Thiagaraja berkata, persidangan kali ini akan memfokuskan kepada usaha bagaimana perubahan boleh diterjemah sebagai satu kemahiran dan disiplin utama dalam perkhidmatan dan kepimpinan moden.
“ACMC 2025 bertujuan memperlengkapkan pemimpin dan pembuat dasar serantau untuk melaksanakan perubahan dengan impak jangka panjang.
“Perubahan di rantau ASEAN sangat kompleks dan dinamik menyebabkan perubahan itu perlu diterjemahkan mengikut konteks tempatan. Dan tahun ini, kita mahu bertindak, bukan lagi hanya menanam kesedaran semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menampilkan barisan penceramah antarabangsa dari England, Poland, Afrika, India, Singapura dan Malaysia, ACMC 2025 memberi penekanan terhadap penyelesaian praktikal serta perbincangan terbuka mengenai strategi perubahan akar umbi yang sesuai untuk realiti ASEAN.
Antara fokus utama persidangan termasuk trend & inovasi, budaya organisasi, psikologi & neurosains, kepimpinan perubahan serta transformasi digital yang akan dijalankan melalui kelas induk, bengkel interaktif, dialog kepimpinan dan sesi ‘design sprint’.
Pada tahun ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) turut serta sebagai rakan kerjasama strategik, membawa perspektif sektor awam Malaysia dalam perbincangan serantau.
Kerjasama ini sejajar dengan agenda reformasi perkhidmatan awam negara dan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan inovasi serta penyampaian berimpak tinggi.


Menurut INTAN, penyertaan penjawat awam dalam ACMC adalah penting bagi memastikan mereka kekal relevan dengan amalan pengurusan perubahan global, khususnya dalam menghadapi landskap tadbir urus yang kian mencabar dan pantas berubah.
Selain itu, beliau berkata, dalam usaha memperkukuh ekosistem pengamal perubahan di rantau ini, ACMC 2025 juga bakal menyaksikan kerjasama bersama organisasi seperti PMI Malaysia Chapter, IKMA, PIKOM, GBS Malaysia, Prosci (USA) dan beberapa lagi badan antarabangsa lain.
Thiagaraja berkata, transformasi organisasi masa kini memerlukan keberanian untuk bertindak, dan bukannya sekadar memahami teori perubahan.
“Jika kita mahu organisasi yang berdaya tahan dan masyarakat yang berdaya saing, kita tidak boleh terus melihat perubahan sebagai satu semakan berkala semata-mata. Ia harus diangkat sebagai teras kemajuan,” katanya.
Pendaftaran untuk persidangan kini dibuka melalui laman web rasmi: https://aseanchangemanagementconference.com
K-Pintar telah menerajui aspek penyampaian program pensijilan profesional dan industri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak lebih 20 tahun lalu.
Ia ditubuhkan untuk merevolusikan landskap pembangunan modal insan, dengan matlamat utama menjayakan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.- DagangNews.com








