Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 beri tumpuan kepada peranan pasaran modal serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 beri tumpuan kepada peranan pasaran modal serantau

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim (tengah) semasa sesi sarapan tertutup bersama para delegasi sempena Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025, di Kuala Lumpur hari ini. Gambar/FB Anwar Ibrahim
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 April - Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 yang bermula hari ini, memberi tumpuan kepada peranan pasaran modal dalam merangka pertumbuhan yang berdaya tahan dan pembangunan menyeluruh di rantau ASEAN, yang mempunyai lebih 600 juta penduduk. 

 

Bertemakan 'Menyambung Modal, Membuka Peluang dan Mendorong Kelestarian', persidangan selama dua hari itu dihadiri oleh lebih 700 pembuat dasar, pelabur, profesional kewangan dan pemain pasaran modal untuk menyelaraskan strategi serantau serta menggerakkan modal ke arah masa depan yang lebih terhubung.

 

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Affin Group, CGS International Securities Malaysia dan RHB Banking Group, persidangan tersebut dilaksanakan ketika pasaran global menghadapi ketidaktentuan dasar dan perubahan dinamik. 

 

AIC 2025 menekankan kedudukan strategik Malaysia untuk meningkatkan peranannya dalam ASEAN dengan memanfaatkan lokasi geografi, hubungan dan persekitaran mesra perniagaan. 

 

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mahu memimpin usaha serantau dalam menangani kesan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS), menggalakkan perdagangan antara negara ASEAN dan memacu pertumbuhan sektor tertentu dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau. 

 

Perbincangan juga memberi tumpuan untuk memperdalam penyepaduan kewangan di rantau ini, terutamanya melalui daya cipta teknologi kewangan dan perbankan digital, serta memperkukuh perkongsian dengan ekonomi utama seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

 

Inisiatif-inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menyokong pembangunan ekonomi yang mampan, mengukuhkan daya tahan rantau ASEAN dan mengharungi cabaran geopolitik yang dihadapi oleh ekonomi global. 

 

Pengerusi SC, Dato' Mohammad Faiz Azmi berkata, kekuatan ASEAN terletak pada semangat perpaduan dan tujuan bersama. 

 

"Ketika ketidaktentuan global ini, kerjasama dan strategi melabur antara negara-negara ASEAN boleh membuka potensi rantau ini.

 

"Melalui kerjasama serantau yang lebih mendalam, kita dapat memanfaatkan kekuatan kita yang pelbagai dan bergerak ke arah ASEAN yang lebih inklusif dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Persidangan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) Ke-12 yang bermula 7 hingga 10 April ini.

 

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucap tama pada pembukaan AIC 2025 selain menghadiri sesi sarapan tertutup bersama delegasi persidangan.

 

Pada acara berkenaan, Panduan Pendedahan ESG yang Dipermudahkan ASEAN untuk perusahaan kecil & sederhana (PKS) dalam Rantaian Bekalan Edisi 1 (ASEAN SEDG) turut dilancarkan. 

 

Ia merupakan panduan praktikal yang dibangunkan untuk membantu PKS memenuhi keperluan laporan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), serta membolehkan mereka membina daya tahan dan kelebihan daya saing dalam pasaran yang berkembang. 

 

Panduan itu selaras dengan Visi ASEAN 2040 yang berhasrat untuk mengubah 10 negara anggota menjadi ekonomi yang berdaya tahan dan mampan, baik secara individu mahupun bersama.

 

Di bawah pimpinan SC untuk Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), pembangunan SEDG menunjukkan usaha berterusan ASEAN untuk menggalakkan pertumbuhan inklusif dan menyokong PKS dalam peralihan ke arah kelestarian. 

 

Ia menawarkan panduan praktikal untuk membantu perniagaan kecil membina daya tahan dan menyelaraskan diri dengan matlamat kelestarian rantau ini.

 

Antara penceramah terkenal di persidangan tersebut termasuk Menteri Kewangan II Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan Kedua Singapura, Chee Hong Tat; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; dan Djiwandono. 

 

Wakil kanan dari agensi perbankan bertaraf antarabangsa seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia juga turut berucap di persidangan berkenaan. - DagangNews.com