Persidangan Geosains Kebangsaan 2025: Tawau jadi tumpuan dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Geosains Kebangsaan 2025: Tawau jadi tumpuan dunia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Persidangan Geosains Kebangsaan (NGC) 2025 membuka tirainya di Tawau, Sabah dan mencipta sejarah apabila lokasi itu dipilih menjadi tuan rumah program berprestij yang menghimpunkan ramai ahli geosains, penyelidik, pembuat dasar, pemain industri dan orang awam. 

 

Persidangan itu yang bermula hari ini akan berlangsung selama tiga hari hingga 20 September 2025.

 

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Geologi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Sabah serta Institut Geologi Malaysia. 

 

Tahun ini, persidangan membawa tema “Geoscience for Sustainability: Bridging Earth, Energy & Environment”, yang menekankan kepentingan ketahanan iklim, tenaga boleh diperbaharui, pengurangan risiko bencana, perlombongan dan guna tanah secara lestari, serta pelestarian warisan geologi dan geo pelancongan.

 

Penganjur memaklumkan, sepanjang tiga hari, peserta akan menghadiri pembentangan jalur saintifik baharu, sesi teknikal mendalam serta ucaptama oleh pakar tempatan dan antarabangsa.

 

"Program ini turut menampilkan bengkel pra-persidangan mengenai penilaian sumber geoterma dan sistem penukaran kuasa, menekankan potensi kawasan gunung berapi dan granit di Tawau.

 

"Selepas persidangan, peserta akan dibawa dalam lawatan lapangan ke lokasi mercu tanda geologi dan operasi perlombongan, termasuk formasi basalt berbentuk lajur serta tapak penerokaan aktif yang menjadikan Tawau sebagai “makmal semula jadi” untuk bidang geosains.

 

"Pemilihan Tawau bukan sekadar atas faktor saintifik sebaliknya lanskap geologi unik bandar ini menawarkan peluang untuk penyelidikan akademik, kerjasama industri, pelancongan lestari serta penerokaan potensi tenaga boleh diperbaharui, khususnya geoterma," kata penganjur dalam satu kenyataan.

 

Persidangan itu akan menonjolkan peranan Malaysia dalam arena geosains global dan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi serta komuniti tempatan. - DagangNews.com