KUALA LUMPUR 11 Jun - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memohon Kementerian Kewangan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 6% ke atas perkhidmatan kesihatan swasta untuk warga asing yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.
APHM menegaskan, tempoh pelaksanaan yang terlalu singkat menyukarkan hospital swasta untuk menyesuaikan sistem pentadbiran, proses bil dan mematuhi peraturan baharu.
"Persatuan telah menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk meminta jadual pelaksanaan yang lebih sesuai dan praktikal," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut APHM, penangguhan itu penting supaya peralihan berjalan lancar, perkhidmatan pesakit tidak terganggu dan hospital dapat mematuhi syarat baharu dengan baik.
APHM turut memohon penjelasan lanjut daripada kementerian mengenai pelaksanaan cukai berkenaan, termasuk kesannya ke atas yuran profesional, rawatan kepada warga asing yang menetap di Malaysia dan aspek teknikal lain.
Kementerian Kewangan minggu ini mengumumkan peluasan cukai perkhidmatan kepada beberapa sektor seperti sewaan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, kesihatan swasta dan pendidikan.
Langkah tersebut dijangka menjana kutipan sebanyak RM51.7 bilion melalui SST pada 2026.
Melalui dasar berkenaan, hospital swasta perlu mula mengenakan cukai SST sebanyak 6% ke atas perkhidmatan kesihatan untuk warga asing.
Beberapa pihak, terutama dalam sektor kesihatan dan pendidikan, menyatakan kebimbangan terhadap kesan pelaksanaan cukai tersebut.
Mereka bimbang tentang akses kepada perkhidmatan, ketelusan harga serta tahap persediaan operasi memandangkan ramai pelanggan terdiri daripada pekerja asing, ekspatriat dan pelajar antarabangsa. - DagangNews.com








