KUALA LUMPUR 7 Mei - Penganalisis meramalkan persaingan agresif di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi tekanan terhadap purata harga (ASP) sarung tangan getah Hartalega Holdings Bhd.
TA Securities berkata, tekanan harga terutama daripada pesaing China dijangka berterusan dengan mereka dilaporkan menawarkan harga sekitar AS$14 (RM59) bagi setiap 1,000 sarung tangan, iaitu AS$2-3 lebih rendah berbanding syarikat Malaysia.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, ASP Hartalega akan merosot sekitar 5% dari suku tahun ke suku tahun dengan sebahagiannya disebabkan kos bahan mentah yang lebih rendah.
Katanya, untung bersih Hartalega bagi tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak RM74.5 juta mengatasi jangkaannya, namun berada di bawah ramalan konsensus.
Sehubungan itu, TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026-2027 kepada RM68.5 juta/RM107.4 juta selepas menurunkan jangkaan jumlah jualan sebanyak 8.0%/10.9% dan mengambil kira angka FY25 dalam model mereka.
Walaupun berdepan tekanan harga, Hartalega terus meneruskan inisiatif untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Syarikat mengesahkan bahawa semua barisan pengeluaran di Kilang 8 kini beroperasi sepenuhnya. Hartalega juga meneruskan strategi pengembangannya, dengan sasaran untuk memanfaatkan produktiviti lebih tinggi daripada barisan baharu.
Sembilan firma penyelidikan yang membuat liputan terhadap saham ini memberikan saranan "beli", manakala 10 firma mencadangkan "pegang", dan dua firma mencadangkan "jual".
Harga sasaran konsensus untuk 12 bulan bagi saham ini adalah RM2.55, berdasarkan purata daripada 21 firma penyelidikan, menurut Bloomberg.
Phillip Capital berkata, terdapat tanda-tanda awal pemulihan, dibantu dinamik perdagangan AS-China dan proses penambahan semula stok inventori.
Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah jualan bagi suku April hingga Jun akan menurun kira-kira 9% kepada antara 6 bilion hingga 6.5 bilion unit, dengan kadar penggunaan kapasiti antara 60% hingga 70%. ASP dijangka kekal mendatar suku-ke-suku pada AS$20 hingga AS$21.
Phillip Capital juga melaporkan, keputusan kewangan terbaru Hartalega adalah di bawah jangkaan.
Prestasi kumpulan hanya mencapai 64% daripada anggaran pendapatan tahun penuhnya sebanyak RM70 juta dan 55% daripada anggaran konsensus sebanyak RM82 juta.
Walaupun begitu, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "pegang" dengan TP RM2.27 sesaham.- DagangNews.com







