KUALA LUMPUR 5 Mei - Kereta Perodua Myvi dan motosikal Yamaha 135LC mencatatkan jumlah tuntutan insurans tertinggi akibat kemalangan pada tahun 2024.
Penyelaras Vehicle Theft Reduction Council (VTREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, berdasarkan data industri insurans, sebanyak 24,628 tuntutan kereta melibatkan Perodua Myvi, diikuti oleh Proton Saga dengan 16,159 tuntutan dan Honda City dengan 13,388 tuntutan.
Katanya, bagi motosikal, Yamaha 135LC menduduki tempat pertama dengan hampir 3,000 kes kemalangan, diikuti oleh Yamaha Y15ZR dengan 2,154 kes.
"Kedua-dua model ini menyumbang kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal pada tahun lalu," katanya ketika membentangkan statistik VTREC seperti laporan New Straits Times.
Mas Tina menjelaskan, Malaysia merekodkan sebanyak 266,716 kes kemalangan jalan raya pada tahun lalu.
"Daripada jumlah itu, kemalangan melibatkan kereta mencatat angka tertinggi dengan 229,739 kes, diikuti kenderaan komersial (21,828 kes) dan motosikal (15,149 kes).
Tambahnya, kos ekonomi akibat kemalangan jalan raya dianggarkan berjumlah RM25 bilion pada tahun 2023.
"VTREC terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan jalan raya dan pencegahan kecurian kenderaan melalui pelbagai program pendidikan dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan institusi pendidikan," ujarnya. - DagangNews.com








