Permohonan semakan kehakiman ditolak: DNeX bawa kes ke Mahkamah Rayuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan semakan kehakiman ditolak: DNeX bawa kes ke Mahkamah Rayuan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Disember 2025 yang melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net).

 

Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menolak permohonan Dagang Net untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) bertarikh 18 Disember 2023. 

 

Keputusan CAT itu mengekalkan keputusan muktamad Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertarikh 16 Februari 2021 yang mengarahkan Dagang Net membayar denda sebanyak RM10.3 juta.

 

Dagang Net telah membayar denda berjumlah RM10.3 juta pada 11 Julai 2022 dan meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan CAT.

 

Semakan kehakiman itu kini menjadi asas rayuan ke Mahkamah Rayuan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MyCC menang semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dagang Net

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DNeX berkata, rayuan yang difailkan tidak akan membawa sebarang impak kewangan baru atau penalti tambahan kepada kumpulan syarikat.

 

“Dagang Net sentiasa menjalankan perniagaannya mengikut semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

 

“Semua perkhidmatan yang disediakan oleh Dagang Net akan terus beroperasi seperti biasa tanpa gangguan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

DNeX juga akan terus bekerjasama rapat dengan penasihat undang-undang luarannya bagi memastikan rayuan ke Mahkamah Rayuan dijalankan dengan teratur dan mematuhi semua prosedur undang-undang yang relevan.

 

"Kami sentiasa memberi komitmen terbaik untuk memastikan operasi anak syarikat berjalan lancar serta mengekalkan keyakinan pelanggan dan pihak berkepentingan.

 


"Tindakan rayuan tersebut adalah langkah biasa dalam proses perundangan dan bukan untuk menambah sebarang beban kewangan kepada kumpulan," katanya.

 

DNeX adalah syarikat teknologi global yang beroperasi dalam tiga divisyen utama iaitu Semikonduktor, Tenaga, dan Teknologi Maklumat (IT).

 

Dalam divisyen Semikonduktor, DNeX beroperasi sebagai kilang semikonduktor. Divisyen Tenaga pula melibatkan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran huluan di North Sea, UK dan Malaysia, selain menyediakan perkhidmatan bekalan dan penyelenggaraan peralatan hiliran.

 

Divisyen IT pula menyediakan perkhidmatan eServices bagi Fasilitasi Perdagangan serta berpengalaman dalam perundingan teknologi dan integrasi sistem. - DagangNews.com