KUALA LUMPUR 28 Mei - Time Dotcom Bhd kekal sebagai pilihan penganalis susulan prospek permintaan kukuh terhadap perkhidmatan jalur lebar global, peluasan perniagaan, serta peningkatan permintaan untuk perkhidmatan awan dalam kalangan syarikat tempatan.
Menurut Kenanga Research, Time merupakan satu daripada dua penyedia utama di Malaysia yang menawarkan sambungan kabel dasar laut dan gentian optik darat kepada syarikat teknologi besar yang mengendalikan pusat data di dalam dan luar negara.
Jelasnya, syarikat itu menyokong sambungan dan keselamatan rangkaian melalui infrastruktur lengkap, termasuk memiliki sistem kabel dasar laut antarabangsa.
"Sebagai contoh, Time menyediakan sambungan rentas sempadan kepada 22 pengendali rangkaian serantau dan global, menghubungkan negara-negara Asia Tenggara ke Malaysia dan seterusnya ke Singapura," katanya dalam satu laporan.
Kenanga Research menyatakan, Time turut memperoleh beberapa projek utama daripada sektor perniagaan, yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan syarikat pada masa hadapan.
"Antara projek terbaharunya adalah kontrak besar bagi menyediakan perkhidmatan sambungan internet kepada 33 kampus universiti awam di seluruh negara," ujarnya.
Kenanga Research menambah, persaingan dalam pasaran internet runcit tempatan juga kini lebih stabil, dibuktikan dengan peningkatan pendapatan purata setiap pengguna dan pertambahan pelanggan baharu dalam suku pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025. - DagangNews.com








