KUALA LUMPUR 24 April - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, PIE Industrial Bhd, terus menjadi pilihan penganalisis disebabkan kepakaran teknikal yang menyeluruh, kelebihan daya saing dan kumpulan pelanggan yang pelbagai serta sedang berkembang.
Kenanga Research mengekalkan harga sasaran saham PIE pada RM5.52 sesaham, berdasarkan jangkaan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) dengan nisbah harga/pendapatan (PER) sebanyak 21.6 kali, iaitu 10% lebih rendah berbanding syarikat setaraf dalam industri.
Ketika ini, saham PIE diniagakan pada RM3.69.
Namun, firma penyelidikan itu memberi amaran risiko utama terhadap saranan 'outperform' termasuk kehilangan tempahan daripada pelanggan utama, kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos buruh serta turun naik nilai mata wang.
"PIE kini sedang mengadakan rundingan lanjut dengan beberapa prospek pelanggan terutamanya daripada syarikat induknya, Foxconn Group, yang kini sedang mempelbagaikan operasi keluar dari Vietnam berikutan isu kekangan tenaga kerja dan pematuhan asal negara," kata Kenanga Research dalam satu laporan kepada pelanggan.
Katanya, rundingan tersebut berjalan pantas ekoran ketidaktentuan dasar Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan pihak pengurusan menjangkakan perjanjian berpotensi akan dimeterai dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Pelanggan baharu itu merangkumi sektor automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi.
Menurut Kenanga Research, PIE mempunyai ruang pengeluaran sedia ada seluas 35,400 meter persegi di kemudahan P1, P3, P5 dan P6, iaitu sekitar 30% daripada keseluruhan kapasiti pengeluaran.
Ruang berkenaan disediakan sebagai penampan bagi lonjakan permintaan dan berkemungkinan diperuntukkan kepada pelanggan baharu yang berpotensi memberikan margin dan jumlah tempahan yang menarik.
"Jika ruang ini digunakan sepenuhnya, PIE menjangkakan tambahan antara 300 hingga 400 pekerja diperlukan bagi menyokong operasi.
“Perbincangan berkaitan produk pelayan (server) juga masih diteruskan, namun pengurusan kini menyemak semula sasaran awal RM1 bilion daripada pelanggan ini," ujarnya.
Selain itu, PIE turut memaklumkan, satu lagi pelanggan berkaitan Foxconn menyatakan minat untuk memindahkan pengeluaran suis dari Vietnam ke kilang PIE, namun rundingan masih berlangsung. - DagangNews.com








