KUALA LUMPUR 9 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal berhati-hati dalam memberikan kelulusan terhadap permintaan bekalan elektrik walaupun terdapat peningkatan permintaan daripada pengendali pusat data.
Langkah itu bertujuan memastikan margin rizab tenaga kekal sihat serta menjamin ketersediaan bekalan elektrik.
Menurut data terkini daripada Single Buyer, margin rizab tenaga Malaysia kini berada pada paras 37%, dengan lebihan kapasiti sebanyak 7.5GW.
“Jumlah itu melebihi julat yang disyorkan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) iaitu antara 20% hingga 35%,” kata Apex Securities (APEX) dalam nota kajiannya.

Johor muncul sebagai hab utama bagi penyedia infrastruktur digital global, disebabkan kekangan tanah, elektrik, air dan tenaga boleh baharu (RE) di Singapura.
Empat kluster pusat data utama di negeri itu ialah Nusajaya Tech Park, Sedenak Tech Park, YTL DC Park dan SiLC Nusajaya, semuanya terletak di Barat Daya Johor yang sejajar dengan laluan sambungan gentian utama ke Singapura melalui jambatan selatan.
Walaupun permintaan masih berterusan, Johor telah menghentikan kelulusan projek pusat data baharu dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini bagi melaksanakan penilaian semula ekonomi bagi menentukan sama ada sektor perkilangan atau sektor lain wajar diberi keutamaan.
Kesannya, minat terhadapnya sudah beralih ke wilayah lain, sebagai contoh, Negeri Sembilan mula mendapat perhatian dengan Google melantik Gamuda Bhd bagi membangunkan pusat datanya di Port Dickson.
Pusat data kebiasaannya terletak berhampiran titik pendaratan kabel dasar laut antarabangsa seperti di Singapura bagi memanfaatkan kecekapan kos dan kebolehpercayaan rangkaian yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, disebabkan keterbatasan ruang pantai dan kepadatan infrastruktur di Singapura, Johor semakin dilihat sebagai alternatif yang lebih fleksibel dan menjimatkan kos.
Konsep pintu masuk Timur-Barat di Johor telah dicadangkan bagi meningkatkan keterhubungan dan mengimbangi pertumbuhan infrastruktur digital.
Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), walaupun terdapat kebimbangan terhadap potensi kelembapan selepas pengenalan Rangka Kerja Penyebaran AI (AI Diffusion Framework) dan kebangkitan Deepseek, tiada pembatalan projek pusat data yang telah diluluskan setakat ini, dan permintaan baharu kekal kukuh.
Walaupun sebahagian permintaan mungkin beralih dari Johor ke Lembah Klang atau kawasan lain akibat moratorium kelulusan di Johor, momentum keseluruhan dijangka kekal teguh.
MDEC turut menyatakan,keupayaan Deepseek untuk menawarkan keupayaan AI lanjutan pada kos dan keperluan pengiraan yang lebih rendah selain meningkatkan permintaan keseluruhan.

Sementara itu, laporan berita terkini menunjukkan, peraturan penyebaran AI tidak akan berkuat kuasa pada 15 Mei seperti yang dirancang sebelum ini, dengan pentadbiran Doanld Trump merancang untuk menyemak semula dasar eksport cip. Bagaimanapun, skop dan ketegasan muktamad peraturan baharu itu masih belum jelas.
APEX Securities mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor itu, disokong dua pemacu utama pertumbuhan permintaan tenaga: perluasan pantas pusat data dan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV), peralihan tenaga yang sedang berlangsung di bawah Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pusat data kekal sebagai penyumbang utama kepada pertambahan beban elektrik walaupun terdapat risiko dasar.
Menurut Bloomberg, dasar eksport cip yang disemak semula oleh pentadbiran Trump dijangka menyasarkan lencongan cip dan ia berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.
“Namun begitu, kami percaya kesannya terhad kepada pihak perantara atau penjual semula, dan bukannya pengguna akhir seperti pusat data berfokus AI di Malaysia,” katanya.
Penyedia pusat data berskal besar AS dijangka tidak terjejas oleh sebarang perubahan dasar tersebut. Secara keseluruhan, Apex Securities percaya, pertumbuhan permintaan yang didorong pusat data adalah tidak dapat dielakkan, sejajar dengan pendigitalan ekonomi yang berterusan.
Semenanjung Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong permintaan ini, dengan tawaran tanah yang luas dan mampu milik, potensi tenaga boleh baharu, serta kos utiliti yang rendah. - DagangNews.com








