Perlis percepatkan proses kelulusan pelaburan, fokus syarikat kewangan kukuh - Menteri Besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perlis percepatkan proses kelulusan pelaburan, fokus syarikat kewangan kukuh - Menteri Besar

KUALA LUMPUR 7 Jan – Proses kelulusan untuk pelaburan di Perlis akan distruktur semula bagi memendekkan tempoh menunggu yang sebelum ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan kepada tempoh yang lebih singkat.

 

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri mahu keputusan dibuat dengan lebih cepat, sama ada untuk memberi kelulusan atau memaklumkan status kelayakan kepada pelabur.

 

“Pemilihan pelabur akan dibuat dengan teliti dengan keutamaan diberikan kepada syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan perancangan strategik yang jelas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kepada penjawat awam Perlis.

 

Abu Bakar berkata kerajaan negeri akan terus mengamalkan dasar mesra pelabur dan mesra perniagaan, dengan menekankan bahawa pelabur dan peniaga adalah rakan strategik dalam pembangunan negeri.

 

“Perubahan sikap dan pendekatan yang lebih progresif, profesional dan berorientasikan penyelesaian diperlukan di seluruh jentera kerajaan negeri bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Perlis.

 

“Kita mesti bangkit, bergerak pantas dan bertindak. Pembangunan Perlis memerlukan jentera kerja yang cekap, pantas dan bersepadu. Disiplin penjawat awam perlu diperkuatkan, termasuk menghentikan amalan keluar minum di luar premis pejabat semasa waktu bekerja,” katanya lagi.

 

Sementara itu, Abu Bakar menambah kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM657.58 juta untuk tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). -- BERNAMA