KUALA LUMPUR 23 Julai - Perlis bakal menjadi tuan rumah kepada Muzakarah Kewangan Islam Digital 2025 (MIDF 2025) yang akan menghimpunkan tokoh industri kewangan Islam, penggubal dasar, pakar teknologi kewangan (fintech) dan sarjana akademik dari dalam dan luar negara.
Majlis yang akan berlangsung di Kangar pada 31 Julai ini bertujuan menjadi medan perbincangan isu-isu kritikal merangkumi pematuhan syariah, etika dan keterangkuman dalam kewangan digital Islam, pelaksanaan prinsip toyyib bagi merealisasikan Maqasid Syariah serta peranan enting kewangan Islam digital dalam menjayakan aspirasi negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Dengan tema “Memacu Kewangan Digital Patuh Syariah: Inovasi, Etika dan Inklusiviti”, MIDF 2025 merupakan hasil kolaborasi strategik antara Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Perlis (UniSIRAJ), Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam (ASAS), dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIiBF).
Acara bertaraf antarabangsa itu akan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Rektor UniSIRAJ, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, penganjuran MIDF 2025 memberi nafas baharu kepada wacana ilmiah dan praktikal kewangan Islam.
Beliau berkata, usaha itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hala tuju kewangan Islam dalam era digital yang mencabar dan dinamik
"MIDF 2025 bukan sekadar persidangan, tetapi sebuah medan pemikiran strategik dan intelektual. Ia menggabungkan kekuatan akademia dan pengalaman industri untuk menilai semula kerangka pemikiran, dasar serta amalan kewangan Islam dalam dunia digital yang pantas berubah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program itu akan dihadiri beberapa tokoh seperti Ketua Pegawai Eksekutif Elzar Shariah Solutions & Advisory, Profesor Adjung Dr Zaharuddin Abd Rahman; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah; Timbalan Pengarah Syariah, Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza dan Profesor Kehormat UKM, Profesor Dr Abdul Ghafar Ismail.
Ia akan turut disertai Pengurus Besar Kanan Co-opbank Pertama, Mohd Fazli Masri; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; Pengasas Ethis Group & Rakan Pengurusan HASAN.VC, Umar Munshi; Dekan IIiBF IIUM, Profesor Datin Dr Rusni Hassan dan Pensyarah Kanan IIiBF IIUM, Profesor Madya Dr Habeebullah Zakariyah.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai MIDF 2025 dijemput untuk mendaftar secara dalam talian. Tempat adalah terhad, dan pendaftaran berkumpulan ditawarkan dengan keistimewaan eksklusif. - DagangNews.com








