KUALA LUMPUR 25 April - Ketika Petronas dan Petros masih dalam perbincangan untuk memuktamadkan terma perjanjian baharu mengenai tadbir urus gas di negeri Borneo itu, pakar industri memberikan pandangan mengenai potensi impaknya terhadap industri minyak dan gas (O&G) Malaysia serta ekonomi secara keseluruhan.
Perjanjian Baharu
Bekas penganalisis di Malaysia Petroleum Resources Corporation, Jamil Ghani berkata, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 17 Februari lalu mengandungi beberapa "petunjuk" mengenai struktur keseluruhan perjanjian tersebut dan pembahagian peranan antara Petronas dan syarikat milik kerajaan negeri Sarawak itu.
"Perinciannya masih dalam proses dirundingkan, tetapi beberapa garis panduan telah ditetapkan oleh Putrajaya," katanya kepada FMT.
Semasa berucap di Dewan Rakyat, Anwar berkata Premier Sarawak Abang Johari Openg telah bersetuju, kontrak antarabangsa dan domestik sedia ada milik Petronas akan terus berkuat kuasa sepenuhnya.
“Kenyataan Premier Sarawak pada 18 Februari secara jelas menyatakan, kontrak-kontrak sedia ada Petronas kekal sah dan tidak terjejas, sejajar dengan jaminan terdahulu dari Putrajaya.

“Tetapi ia juga memperkenalkan satu syarat penting: kontrak-kontrak ini tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai pengagregat gas (di Sarawak) dan tidak boleh bertentangan dengan peruntukan Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016,” kata Jamil.
Beliau berkata yang melibatkan pembeli antarabangsa seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, biasanya mempunyai tempoh antara 20 hingga 40 tahun.
“(Kontrak-kontrak ini) sangat teknikal, dan anggaran mengenai jumlah gas yang tersedia serta margin keuntungan telah pun diambil kira dalam penetapan harga akhir.
“Jika tiba-tiba wujud satu pihak tambahan yang perlu dibayar, seperti orang tengah, maka peningkatan kos itu berkemungkinan memerlukan rundingan semula atau pelarasan dalam perancangan operasi strategik,” katanya.
Ucapan Anwar di Parlimen juga melibatkan beberapa terma lain yang telah dipersetujui antara Putrajaya dan Sarawak sebagai sebahagian daripada penyelesaian keseluruhan pertikaian.
Beliau berkata, Petronas akan membekalkan 1.2 bilion kaki padu gas setiap hari kepada Sarawak bagi merealisasikan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030, meningkat daripada 450 juta kaki padu yang diterima negeri itu ketika ini.
“Petronas mungkin perlu mendapatkan bekalan gas dari pasaran bagi memenuhi peruntukan tersebut tanpa menjejaskan kontrak sedia ada, yang mungkin melibatkan kos lebih tinggi. Ini boleh memberi kesan langsung kepada unjuran kewangan dan keuntungan Petronas,” kata Jamil.
Keyakinan Pelabur dan Pertumbuhan Ekonomi
Penganalisis, James Chin percaya perjanjian Petronas-Petros yang saling menguntungkan akan membantu memperbaiki hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Beliau dari Universiti Tasmania, memberitahu FMT, pelantikan Petros sebagai satu-satunya pengagregat gas di Sarawak akan membolehkan gabungan pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak, melihat kerajaan Madani pimpinan Anwar dengan lebih positif.
“Di bawah kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamed dahulu, Sarawak tidak dapat menuntut perkara ini kerana beliau enggan membincangkan isu tersebut. Ini akan menjadi lebih baik untuk Anwar jika beliau dapat menunaikannya.

“Masalahnya ialah hal berkaitan minyak dan gas sangat teknikal. Kita berurusan dengan pengiraan yang sangat rumit.
“Apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak memuktamadkan perbincangan mereka awal tahun ini, mereka mencapai perjanjian di peringkat yang sangat tinggi tanpa menyentuh semua butiran terperinci," katanya.
Sementara itu, Jamil berkata, rundingan komersial itu dalam kerangka ketat yang ditetapkan oleh Putrajaya akan mengukuhkan keyakinan pelabur.
“Akan wujud kestabilan operasi dan kejelasan undang-undang yang lebih baik dengan pembahagian peranan yang jelas. Ini akan mengurangkan risiko konflik yang boleh mengganggu operasi industri dan menghalang pelaburan," katanya.
Beliau juga berkata, ia akan meminimumkan kesan terhadap keuntungan bersih Petronas sambil meningkatkan keselamatan tenaga negara dan industri minyak dan gas, memandangkan peranan penting syarikat minyak negara itu dalam sektor-sektor ini.
“Realitinya ialah industri besar lain seperti E&E (elektrik dan elektronik) didominasi oleh pelaburan langsung asing (FDI), manakala keadaan adalah sebaliknya bagi O&G,” katanya.

Menurut Jamil, lebih daripada 3,000 syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas akan terjejas teruk.
“Lebih 90% daripada syarikat ini bergantung kepada Petronas untuk terus beroperasi.
“Jika Petronas kehilangan kedudukannya di Sarawak, keupayaannya untuk membayar dividen kepada kerajaan persekutuan akan berkurang," katanya.
Jamil berkata, banyak industri di negara ini amat bergantung kepada akses kepada bahan api murah. “Petronas telah menjadi tulang belakang yang menyokong kesemuanya," katanya.
Keselamatan Negara
Seorang lagi penganalisis, Shakila Yacob dari Universiti Sunway berkata, walaupun terdapat keperluan besar untuk perkongsian kuasa dan sumber antara kerajaan persekutuan dan negeri, kebimbangan ekonomi dan keselamatan yang lebih luas juga perlu diambil kira.
Beliau berkata, adalah penting agar aspirasi negeri diseimbangkan dengan keperluan untuk perpaduan negara bagi menangani ketegangan yang lebih mendalam dalam sistem persekutuan Malaysia dengan lebih berkesan.

“Memberi keutamaan kepada autonomi sumber pada waktu ini boleh mengalihkan perhatian daripada keperluan untuk perpaduan negara dalam menangani ancaman luar, khususnya dari China.
“Salah satu isu paling mendesak ialah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Laut China Selatan, terutamanya tuntutan agresif China yang meliputi kawasan berhampiran Sarawak, seperti James Shoal yang terletak hanya 50 batu nautika dari pesisir pantai,” katanya.
Shakila berkata, bahawa pertikaian antara Putrajaya dan Sarawak perlu diselesaikan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap autonomi tenaga negara.
“Petronas telah bekerja keras sejak tahun 1970-an bagi memastikan hak minyak Malaysia daripada dikuasai oleh syarikat minyak asing. Selama beberapa dekad, ia telah membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kepakaran untuk menguruskan sumber ini dengan berkesan.
“Adalah penting untuk mengekalkan peranan Petronas bagi melindungi kedaulatan negara dan memastikan kita tidak kehilangan kemajuan yang telah dicapai,” katanya kepada FMT.- DagangNews.com








