KUALA LUMPUR 25 Sept - Rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) yang dijadual bersambung pada November ini dijangka membuka peluang baharu dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau serta rantaian nilai mampan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau yakin rundingan yang tertangguh sekian lama itu boleh dimuktamadkan tidak lama lagi memandangkan hubungan perdagangan dua hala yang kukuh serta kedudukan EU sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia.
“Pada 2024, EU merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$45 bilion.
“EU juga merupakan destinasi eksport keempat terbesar negara dan sumber import ketiga terbesar,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU ke-11 hari ini.
Beliau berkata, EU kekal sebagai sumber utama pelaburan langsung asing, khususnya dalam sektor pembuatan, teknologi hijau dan ekonomi digital.
Amir Hamzah berkata, Malaysia komited terhadap reformasi yang berteraskan daya tahan fiskal, pertumbuhan inklusif dan tadbir urus baik di bawah kerangka Ekonomi Madani serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.4% pada separuh pertama 2025, dengan pertumbuhan setahun penuh diunjur antara 4% hingga 4.8%.
Inflasi pula menurun kepada 1.3% setakat tahun ini berbanding 1.8% tahun lalu, manakala kadar pengangguran susut kepada 3%.
Ringgit turut mengukuh sebanyak 5.8% berbanding dolar AS, menjadikannya antara mata wang paling kukuh di rantau ini.
“Pencapaian ini didorong oleh reformasi struktur, rasionalisasi subsidi, peluasan kerangka cukai serta pengurusan fiskal berdisiplin,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada kedudukan kredit Malaysia yang stabil dengan penarafan A3 oleh Moody’s, A- oleh S&P Global dan BBB+ oleh Fitch, selain peningkatan ke tangga ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025, yang terbaik sejak 2020.
Memandang ke hadapan, Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui (RE), kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur mampan.
Belanjawan itu juga akan terus meningkatkan taraf hidup rakyat melalui subsidi bersasar, peluasan perlindungan sosial serta pembaharuan dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Dalam aspek kelestarian, beliau berkata tenaga boleh diperbaharui dijangka menyumbang 31% kepada campuran tenaga negara menjelang 2030, meningkat kepada 70% menjelang 2050.- DagangNews.com








