KUALA LUMPUR 29 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sambutan Hari Kebangsaan dijadikan wadah memperkukuh perpaduan nasional dan mengajak rakyat mempamerkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurut beliau, pengibaran Jalur Gemilang adalah simbol penyatuan rakyat pelbagai kaum dan usia, malah harus turut digerakkan oleh syarikat swasta, pejabat kerajaan mahupun pusat perniagaan.
“Itu sahaja saya minta tunjuk (kibar Jalur Gemilang). Tanda kita semua bersama daripada semua kaum, semua peringkat umur, tidak kira parti kita memuliakan Jalur Gemilang.
“Saya berharap syarikat swasta, pejabat, pusat perniagaan walau ada berapa hari berbaki (sebelum 31 Ogos) terus kibarkan Jalur Gemilang sehingga Hari Malaysia.
“Jaga keamanan, perpaduan, bekerjasama untuk bawa kebaikan kepada negara, jangan kita bawa kepada permusuhan dan perpecahan, kita tahu dari awal merdeka dan Malaysia itu semua kita induknya Melayu dan Bumiputera, tetapi perlu selenggara tempat juga Cina, India dan yang lain, jangan pertikai itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen Satu di Ampang, hari ini.
Menyentuh Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dibentangkan di Parlimen semalam, Anwar menjelaskan ia bukan bertujuan merampas hak kaum tertentu.
Sebaliknya, Anwar berkata, ia bertujuan menyediakan kediaman lebih selesa kepada golongan B40 dan M40 yang masih terhimpit di flat usang, termasuk keluarga besar yang berkongsi ruang sempit.
“Soal kononnya demografi berubah atau Cina akan rampas semua tidak benar. Pembangunan semula ini akan pertahankan kepentingan semua kaum,” tegasnya sambil menambah kadar persetujuan minimum pemilik atau penghuni turut dicadang dinaikkan kepada 80 peratus.
Anwar turut menekankan betapa pentingnya wakil rakyat turun padang bagi memahami realiti kehidupan rakyat miskin di bandar, sekali gus memastikan sebarang dasar berpaksikan aspirasi sebenar rakyat. - DagangNews.com








