KUALA LUMPUR 21 April - Perdagangan runcit Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila jualan runcit meningkat 5.9% tahun ke tahun kepada RM65.15 bilion pada Februari 2025.
Menurut MIDF Research, jumlah keseluruhan jualan bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah RM131.27 bilion, naik 7% berbanding tempoh sama tahun lalu, menandakan daya tahan permintaan pengguna domestik.
"Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan kukuh dalam segmen makanan, minuman dan tembakau, serta jualan mantap di kedai tidak khusus seperti pasar raya besar dan kedai serbaneka.
"Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding musim perayaan pada Januari lalu, trend keseluruhan kekal positif," kata MIDF Research menerusi laporan bulanannya.
Jelasnya, pasaran buruh yang stabil terus menyokong perbelanjaan pengguna, dengan kadar pengangguran kekal pada 3.1% dan pertumbuhan pekerjaan mengatasi pertumbuhan tenaga kerja selama 43 bulan berturut-turut.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan inflasi juga terkawal apabila Indeks Harga Pengguna (CPI) keseluruhan meningkat 1.5% dan CPI teras naik sedikit kepada 1.9%, menunjukkan kuasa beli pengguna masih terpelihara.
MIDF Research menjangka perbelanjaan runcit kekal kukuh didorong faktor struktur seperti kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum lebih tinggi, bantuan tunai dan pemulihan pelancongan.
Selain itu, sektor pelancongan Malaysia pula bermula dengan cemerlang pada 2025, apabila ketibaan pelancong antarabangsa mencecah 4.3 juta dalam dua bulan pertama, melepasi 3.7 juta tahun lalu.
"Pemulihan ini disokong dasar visa bebas untuk pelancong dari China dan India, sambungan penerbangan lebih baik serta promosi agresif di peringkat antarabangsa," ujarnya.
MIDF Research berkata, Sabah turut merekodkan pertumbuhan pelancongan memberangsangkan, dengan 0.6 juta ketibaan pelancong setakat Februari, menghampiri paras sebelum pandemik.
Tambahnya, Sabah menerima 3.15 juta pelawat pada 2024, melepasi sasaran 3 juta.
Bagi 2025, sasaran dinaikkan kepada 3.5 juta pelancong.
Peningkatan itu disokong AirAsia yang menyasarkan membawa 5 juta penumpang ke Sabah tahun ini, berbanding 3.7 juta pada 2024.
"Pertumbuhan pelancongan dijangka memberi impak positif kepada sektor pengguna, khususnya dalam perkhidmatan makanan, runcit dan gaya hidup di kawasan tumpuan pelancong," jelasnya.
MIDF Research juga kekal positif terhadap sektor pengguna, disokong kestabilan makroekonomi, peningkatan pendapatan boleh guna, inflasi rendah dan sokongan dasar kerajaan. - DagangNews.com







