KUALA LUMPUR 29 Julai – Perbelanjaan pengguna Malaysia dijangka terus meningkat pada 2025, didorong prospek ekonomi negara yang kukuh serta pertumbuhan pendapatan isi rumah dalam terma sebenar, menurut BMI, anak syarikat di bawah Fitch Solutions.
Dalam laporan terkini bertajuk ‘Malaysia Consumer Outlook: Strong Growth Forecast Over 2025 and 2026’, BMI menjangka perbelanjaan isi rumah akan meningkat 3.8 peratus kepada RM930.7 bilion pada 2025, berbanding RM896.9 bilion tahun lalu.
Firma penyelidikan itujuga menurunkan unjuran kadar inflasi keseluruhan bagi tahun 2025 kepada purata 1.9 peratus, berbanding jangkaan awal 2.1 peratus.
“Kadar ini masih cukup rendah untuk menyokong kuasa beli isi rumah.
“Perbelanjaan isi rumah kini hampir kembali ke tahap pertumbuhan pra-pandemik COVID-19, apabila ia mencatat purata pertumbuhan sebenar sebanyak 5.2 peratus setahun antara 2015 hingga 2019,” kata BMI.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran tahap hutang isi rumah yang tinggi serta kos perkhidmatan hutang yang membebankan berkemungkinan menjadi faktor yang menyekat pertumbuhan perbelanjaan pengguna secara lebih agresif.
BMI menjangkakan perbelanjaan pengguna akan meningkat lebih pantas pada 2026, disokong oleh pertumbuhan mantap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), prospek pekerjaan yang stabil, serta pelonggaran dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia.
Menurut unjuran firma itu, bank pusat dijangka mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, daripada 2.75 peratus pada hujung 2025 kepada 2.50 peratus menjelang akhir 2026, sekali gus memberi sokongan tambahan kepada sentimen dan kuasa beli pengguna.
“Bagi tahun 2026, kami menjangka pertumbuhan perbelanjaan isi rumah sebanyak 5% dengan nilai keseluruhan mencecah RM977.3 bilion.
“Sepanjang tempoh 2025 hingga 2029, perbelanjaan pengguna akan terus dipacu oleh peningkatan pendapatan isi rumah serta lonjakan jualan runcit berkaitan sektor pelancongan,” katanya. - DagangNews.com








